Bekas pegawai SPRM harap dapat bawa perubahan besar di Lunas

Bekas pegawai SPRM harap dapat bawa perubahan besar di Lunas

S Arichindarem berkata, penduduk tempatan mempercayainya sebagai orang paling sesuai untuk menyuarakan kebimbangan mereka.

Calon bebas S Arichindarem berkata, penduduk tempatan sedia menyokongnya kerana mereka tahu reputasinya. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Sebagai bekas penolong pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), calon bebas S Arichindarem berharap diberikan peluang untuk membawa perubahan besar kepada penduduk di Lunas, Kedah.

Dikenali sebagai Ari oleh penduduk tempatan, beliau berkata, rakyat meminta bantuannya dalam banyak perkara kerana pernah berkhidmat sebagai ketua perisikan SPRM bagi wilayah utara.

Katanya, penduduk mengenalinya semasa menjadi pegawai beruniform dan sebagai pegawai SPRM, beliau membimbing mereka yang meminta bantuannya ke saluran betul.

“Bukan semua orang tahu cara mendapatkan bantuan bagi menangani masalah mereka dan mereka bergantung kepada orang berkuasa untuk membantu mereka.

“Jika diberi peluang, saya akan (cari jalan) terus menangani masalah mereka. Saya boleh bangkitkan kebimbangan mereka di DUN Kedah,” katanya kepada FMT.

Ari berkata, beliau mengenal pasti beberapa masalah perlu ditangani di Lunas, antaranya kesukaran belia mendapat pekerjaan menyebabkan ada yang mengambil jalan mudah dengan beralih kepada jenayah, di mana kebimbangan utama adalah pengedaran dadah.

“Terdapat masalah sosial lain juga dan saya mahu cari jalan atasinya,” katanya yang berhasrat menambah baik infrastruktur di kawasan itu seperti masalah bekalan air.

Beliau berharap Lunas dapat bebas dari segi kewangan kerana percaya isu infrastruktur boleh diselesaikan jika kawasan itu mempunyai bajet sendiri.

“Ya, kerajaan negeri mempunyai dana, tetapi kita tidak tahu berapa banyak yang dibelanjakan untuk menyelesaikan masalah di sini, seperti penyelenggaraan dan infrastruktur.”

Beliau juga mahu membantu belia mendapat tempat di universiti awam dan pekerjaan di sektor awam kerana ramai anak muda berbakat di Luas yang memerlukan bantuan.

“Bukan semua orang kaya. Mereka ini sangat memerlukan bantuan.

“Ada pelajar mendapat keputusan sangat baik, tetapi mereka tidak mendapat tempat di universiti awam. Mereka ini berhak mendapat bantuan,” katanya sambil menambah beliau juga akan membantu individu mahu memulakan perniagaan.

Katanya, banyak maklum balas positif diterima daripada pengundi berbilang kaum kerana mereka mengiktirafnya sebagai bekas pegawai beruniform dan sedia menyokongnya kerana tahu reputasinya.

“Mereka beri kata-kata semangat kepada saya seperti: ‘Ari boleh, mesti boleh’.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.