‘Akses pendidikan’ antara model lokasi sekolah khas golongan miskin

‘Akses pendidikan’ antara model lokasi sekolah khas golongan miskin

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata model lain diperhalusi meliputi isu berkait rapat dengan kemiskinan, saluran bantuan dan sokongan ekosistem sekolah.

Fadhlina Sidek berkata, model khas dalam menentukan lokasi sekolah seumpama itu juga akan diperhalusi jawatankuasa di Kementerian Pendidikan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Lokasi pembinaan sekolah rintis khas keluarga paling miskin mengambil kira kesukaran mereka mendapat akses belajar, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Beliau berkata elemen itu antara model khas sedang diperhalusi bagi menetapkan kriteria lokasi pembinaan sekolah sedemikian.

Katanya, model khas lain turut meliputi isu yang berkait rapat dengan kemiskinan, saluran bantuan, dan sokongan kepada ekosistem sekolah.

“Model khas itu bermaksud tentang akses pendidikan yang sukar untuk pelajar ini (golongan miskin) pergi ke sekolah,” katanya kepada media selepas beramah mesra bersama pelajar di Program Pembinaan Karakter Bangsa Malaysia Pelajar Lepas Menengah di Dewan Dato’ Haji Ahmad Salleh.

Memetik laporan Bernama, beliau juga berkata kriteria bagi model khas tersebut akan diperhalusi dan dilihat oleh jawatankuasa di Kementerian Pendidikan yang akan ditetapkan kemudian.

Ahad lalu, beliau dilaporkan berkata kementeriannya akan berusaha sedaya upaya bagi merealisasikan hasrat Perdana Menteri Anwar Ibrahim membina jenis sekolah baharu yang menyasarkan kepada anak-anak daripada golongan paling miskin di negara ini pada tahun depan.

Beliau berkata, ia akan lebih berkonsepkan kepada jenis sekolah menengah sains dan sekolah menengah berasrama penuh.

Katanya, peluang pendidikan perlu diberikan secara saksama supaya tiada mana-mana golongan tercicir daripada pendemokrasian mutu pendidikan yang memberikan hak pendidikan kepada semua orang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.