DBKL kenal pasti lokasi baharu kuil Hindu

DBKL kenal pasti lokasi baharu kuil Hindu

DBKL berkata pemindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman akan dilaksanakan secara telus dan adil.

dbkl
DBKL menghargai kerjasama pelbagai pihak untuk memastikan proses pemindahan berjalan lancar.
PETALING JAYA:
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah mengenal pasti lokasi baharu untuk memindahkan sebuah kuil Hindu bersejarah yang dilaporkan berdepan rancangan perobohan.

Dalam kenyataan, DBKL berkata pemindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman akan dilaksanakan secara telus, adil dan membabitkan perbincangan dengan pihak berkepentingan bagi memastikan kelancaran pelaksanaannya.

“Pemindahan rumah ibadat terlibat bagi memastikan penganut Hindu dapat terus menjalankan aktiviti keagamaan mereka dengan selesa dan harmoni,” katanya.

DBKL juga memberi komitmen tidak akan melakukan sebarang aktiviti perobohan struktur kuil di tapak tersebut dan ia boleh beroperasi seperti biasa sehingga proses pemindahan selesai.

“DBKL menghargai kerjasama pelbagai pihak untuk memastikan proses pemindahan berjalan lancar dan menyeru semua pihak terus mengekalkan keharmonian kepelbagaian agama dalam negara,” katanya.

Terdahulu, DBKL berkata pihaknya mengambil maklum cadangan pembinaan sebuah masjid di atas tanah milik sebuah syarikat swasta di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.

Katanya, tanah dimiliki syarikat swasta itu menjadi perhatian kerana sebahagian kecil daripadanya menempatkan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman.

“Projek itu merupakan cadangan oleh syarikat swasta berkenaan selaku pemilik tanah yang sah dan bukan daripada pihak kerajaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.