Sudut video diambil wartawan ‘kasar’, Iszuree perjelas insiden Lau

Sudut video diambil wartawan ‘kasar’, Iszuree perjelas insiden Lau

Setiausaha PAS Pulau Pinang berkata suasana ceramah pada 1 Ogos itu agak bising, menyebabkan beliau terpaksa bercakap dengan nada tinggi.

Setiausaha PAS Pulau Pinang Iszuree Ibrahim berkata beliau sudah lama kenal Dominic Lau sejak di bangku sekolah. (Gambar SPAN)
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin PAS yang terbabit dalam insiden Presiden Gerakan Dominic Lau didakwa diminta meninggalkan ceramah Perikatan Nasional (PN) di Pulau Pinang awal bulan ini “menyalahkan” sudut video diambil wartawan, yang menurutnya menimbulkan kekeliruan.

Setiausaha PAS Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim, berkata suasana ketika itu agak bising, menyebabkan beliau terpaksa bercakap dengan nada tinggi.

“Kesempatan itu diambil oleh wartawan untuk ‘mencederakan’ hubungan kami,” katanya yang kali pertama menjelaskan situasi sebenar insiden di ceramah di Sungai Dua pada 1 Ogos itu.

“Suasana (ketika itu) agak bising…orang Pulau Pinang ini biasalah bercakap begitu, tetapi sudut gambar diambil oleh wartawan itu dalam keadaan macam kasar,” katanya menerusi video di Facebook.

Beliau sebelum ini enggan memberikan sebarang komen selepas Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan memohon maaf bagi pihak parti itu, sambil menegur layanan terhadap Lau, yang menurutnya seorang tokoh PN wajar diberikan penghormatan selayaknya.

Ketika Ceramah Mega PN Best yang turut dihadiri Presiden PAS Abdul Hadi Awang, Iszuree dirakam dalam klip video meminta Lau, yang juga calon PN DUN Bayan Lepas, meninggalkan majlis.

Menjelaskan situasi pada malam itu, Iszuree berkata, Lau tidak diundang ke majlis kerana ia diadakan di Seberang Perai Utara, kawasan majoriti Melayu.

Beliau berkata, Lau dinasihatkan tidak menghadiri ceramah itu untuk menjaga keharmonian memandangkan ramai ahli PAS tidak senang dengan pencalonannya di Bayan Lepas.

Mengakui beliau dan Lau sering berbeza pendapat, Iszuree berkata, hal itu tidak membawa kepada hubungan dingin antara mereka.

“Saya dan Lau rakan sekolah di SMK Abdullah Munshi, bukanlah baru kenal,” katanya.

“Saya tak pernah bergaduh teruk dengan dia, berselisih dan tidak sependapat tu biasalah.”

Sebelum ini, pencalonan Lau di DUN Bayan Lepas dikatakan mengecewakan akar umbi PAS di kerusi majoriti Melayu itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.