
Walaupun badan pemantau pilihan raya, Bersih berkata, PRN itu tidak patut dilihat sebagai pungutan suara terhadap kerajaan persekutuan pimpinan Anwar, tetapi Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berpendapat ia mungkin berbeza bagi pengundi.
“Ia akan menunjukkan penerimaan terhadap gabungan perpaduan dan dasarnya dalam kalangan pengundi,” katanya kepada FMT.
Pendirian tegas kerajaan terhadap rasuah, usaha mengurangkan kos sara hidup serta rangka kerja Ekonomi Madani yang baru dilancarkan, dipuji pemerhati dan penyokong.
Tetapi, gabungan perpaduan turut berdepan beberapa persoalan sukar berhubung isu pelantikan Zahid Hamidi sebagai timbalan perdana menteri yang mempunyai kes mahkamah, lantikan politik dalam agensi kerajaan dan pembaharuan perlahan.
Awang Azman berkata, PRN boleh membawa kesan melampaui enam negeri, khasnya jika keputusan memihak kepada Perikatan Nasional (PN).
“Ia boleh menjejaskan dinamik antara parti dalam gabungan perpaduan, khasnya BN. Mereka perlu menunjukkan kerjasama mereka dengan PH memanfaatkan (rakyat).
“Jadi, PRN itu juga akan menjadi referendum terhadap BN dan pimpinan tertingginya berhubung keputusan (mereka) bekerjasama dengan PH,” katanya sambil menambah ini boleh membawa kepada persoalan sama ada BN perlu kekal dalam gabungan itu.
Beliau berkata, keputusan itu juga boleh memberi kesan terhadap dinamik dalam PN, terutamanya jika PAS mengatasi Bersatu.
“Jika PAS kekal dominan (seperti dalam PRU15), Bersatu perlu mencari jalan memperbaiki imejnya untuk mengelakkan dilihat terlalu bergantung kepada parti itu.”
James Chin dari Universiti Tasmania berkata, PRN itu akan menjadi pungutan suara tidak langsung terhadap Anwar.
“Buat julung kalinya, pengundi berpeluang mengundi sama ada menyokong atau menentang pentadbiran Anwar, khasnya kerana gabungan yang menyokongnya hanya wujud selepas PRU15,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, walaupun keputusan PRN tidak akan menjejaskan hubungan antara parti dalam gabungan perpaduan, ia boleh menjejaskan kestabilan pentadbiran Anwar, terutamanya dalam Umno.
“Umno akan menjadi parti utama memperjuangkan undi Melayu bagi pihak kerajaan perpaduan.”
Umno bertanding di 107 daripada 245 kerusi DUN dan BN di bawah tekanan untuk mendapatkan undi Melayu yang sangat diperlukan.
Tetapi, Chin berkata, kekalahan kepada PAS dan Bersatu, yang turut mengintai kerusi Melayu, boleh mencetuskan ketidakstabilan dalam Umno.
“Dan jika Umno menjadi tidak stabil, kerajaan perpaduan mungkin tidak dapat bertahan.”