Pemimpin Sabah seru ‘gencatan politik’ usai PRN

Pemimpin Sabah seru ‘gencatan politik’ usai PRN

Presiden PKDM Peter Anthony berkata perubahan tampuk pentadbiran di Putrajaya konon bakal berlaku tidak akan menguntungkan negara.

Presiden Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM) Peter Anthony menasihatkan blok pembangkang jangan ingkar titah Agong untuk mengekalkan kerajaan stabil. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen blok kerajaan dan pembangkang perlu melakukan “gencatan politik” selepas PRN Sabtu ini seiring titah Yang di-Pertuan Agong untuk mengekalkan kerajaan stabil.

Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM), Peter Anthony, berkata spekulasi perubahan tampuk pentadbiran Putrajaya yang konon bakal berlaku tidak akan menguntungkan negara.

Menurutnya, sejak 2020 keadaan politik negara sering bergolak, dengan kepimpinan Putrajaya bertukar sebanyak tiga kali sekali gus membantutkan usaha pemulihan ekonomi.

“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana ia dilihat mengingkari titah Agong supaya mengekalkan pentadbiran kerajaan untuk kestabilan negara,” kata Adun Melalap dari Sabah itu dalam kenyataan.

PKDM diwakili Ahli Parlimen Kota Marudu Wetrom Bahanda yang mesra kerajaan perpaduan diketuai Anwar Ibrahim.

Beliau mengulas kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang semalam, yang mendakwa bakal berlaku perubahan kerajaan jika Perikatan Nasional (PN) menang PRN enam negeri.

Hadi membuat dakwaan itu berdasarkan terdapat sokongan daripada Ahli Parlimen dalam parti gabungan kerajaan perpaduan dari Sabah dan Sarawak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, bagaimanapun menegaskan tiada peruntukan dalam Perlembagaan yang menyatakan keputusan PRN akan membawa perubahan kepada pentadbiran kerajaan di peringkat persekutuan.

PRN diadakan di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu, dan Kelantan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.