
Sinar Harian melaporkan P Niruben, 26, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di depan Majistret V Vanita, tetapi tiada pengakuan direkodkan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati membunuh K Paramasivan, 49, kira-kira 12.20 tengah malam hingga 1.10 pagi 5 Ogos lalu di Taman D’Ambang Kota, Lukut, Negeri Sembilan.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan maksimum 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah juga dikenakan sebat tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Nadia Ezzati Mohd Zainal tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh dan mahkamah menetapkan 12 Sept untuk sebutan semula kes.
Sebelum ini, seorang lelaki dilaporkan maut dipercayai dipukul anak lelakinya di rumah mereka di Taman D’Ambang Kota pada tengah malam Sabtu lalu.
Dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah malam itu, mangsa berusia 46 tahun dikatakan mabuk dan membuat bising sambil mengeluarkan kata-kata kesat sebelum dua beranak itu bergaduh.
Ketua Polis Port Dickson, Aidi Sham Mohamed dilaporkan berkata, suspek berusia 26 tahun ditahan di lokasi kejadian.