Curi gaji pekerja, suami isteri antara 4 ditahan

Curi gaji pekerja, suami isteri antara 4 ditahan

Polis berkata, empat suspek yang bekerja di syarikat itu ditahan tiga hari selepas laporan dibuat dan wang tunai berjumlah RM110,680 serta 15 barang kemas dirampas.

Polis berkata, semua suspek berusia 22 hingga 44 tahun itu direman tiga hari dan kertas siasatan akan dirujuk ke timbalan pendakwa raya dalam masa terdekat.
SHAH ALAM:
Sepasang suami isteri warga tempatan dan dua lelaki warga asing ditahan polis Isnin lepas bagi membantu siasatan kecurian wang tunai lebih RM200,000 dan 32 telefon bimbit milik syarikat memproses makanan di Pulau Indah, Klang dekat sini.

Ketua Polis Klang Selatan, Cha Hoong Fong berkata pihaknya menerima aduan pembantu pengurus sumber manusia syarikat itu pada 4 Ogos lalu mendakwa wang tunai serta telefon bimbit diletak dalam pejabat hilang, disyaki dicuri.

Katanya, hasil siasatan mendapati sehari sebelum laporan dibuat, pengadu memasukkan wang itu dalam sampul surat untuk membayar gaji pekerja dan menyimpannya dalam almari sebelum pulang ke rumah.

“Pada 4 Ogos, lebih kurang 6 pagi, setelah sampai ke pejabat, pengadu mendapati wang tunai itu bersama 32 unit telefon bimbit tiada dan syarikat pengadu mengalami kerugian sebanyak RM220,000.”

Cha berkata, kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan mencuri dalam bangunan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda.

Katanya, empat suspek yang juga pekerja di syarikat itu ditahan tiga hari selepas laporan dibuat dan wang tunai berjumlah RM110,680 serta 15 barang kemas bersama resit pembelian turut dirampas.

Beliau berkata, semua suspek berusia 22 hingga 44 tahun itu direman tiga hari dan kertas siasatan akan dirujuk ke timbalan pendakwa raya dalam masa terdekat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.