Kami hanya mahu masalah lalu lintas selesai, kata penduduk P Pinang

Kami hanya mahu masalah lalu lintas selesai, kata penduduk P Pinang

Segelintir penduduk mencadangkan kerajaan negeri memperkenal caj kesesakan seperti yang dikenakan di Singapura dan Hong Kong.

Isu kesesakan lalu lintas masih kekal paling utama dalam senarai kebimbangan penduduk Pulau Pinang, menurut tinjauan FMT. (Gambar Bernama)
GEORGE TOWN:
Pada kala ahli politik menabur banyak janji dalam jejak kempen PRN 12 Ogos, penduduk Pulau Pinang bertanya sama ada masalah lalu lintas yang berterusan dan kenaikan harga barangan di negeri itu akan berakhir.

Walaupun ramai penduduk merasakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) berjaya membawa perubahan positif. terutama dari segi kebersihan, isu kesesakan lalu lintas masih kekal paling utama dalam senarai kebimbangan mereka, menurut tinjauan FMT.

Pengusaha John Hon, 56, berkata, negeri itu perlu mencontohi pulau lain, seperti Singapura dan Hong Kong, yang mengenakan caj kesesakan kepada pengguna jalan raya.

“Kamu dah larang lori dan kenderaan berat lain melalui Jambatan Pulau Pinang pada waktu puncak. Mengapa tidak buat perkara sama untuk pulau?

“Hadkan bilangan kereta yang masuk dan minta orang ramai guna bas. (Kerajaan) negeri mesti berani letak had, malah kenakan bayaran,” katanya.

John Hon.

Hon, yang memandu van pelancongnya sendiri, berkata semakin sukar untuk membawa pelancong berjalan-jalan dengan kesesakan lalu lintas yang teruk. Katanya, LRT boleh membantu mengurangkan kenderaan di atas jalan, tetapi ia mesti dibina dengan cepat tanpa sebarang alasan lagi.

“Kami telah dengar tentang LRT sejak 2008. Agaknya apabila LRT dibangunkan (nanti), kami dah tiada,” katanya.

Beh Swee King, 49, yang bekerja di gerai minuman dan sebagai pelayan sambilan di restoran, berkata menggunakan motosikal di Pulau Pinang bukanlah cara terbaik untuk mengatasi kesesakan lalu lintas.

“Orang kata, lebih mudah untuk elak kesesakan apabila tunggang motosikal. Tak benar sama sekali!

“Lebih sukar tunggang motosikal dalam lalu lintas yang sesak. Dengan begitu banyak kereta, tiada ruang untuk motosikal,” kata ibu anak empat itu.

Selain kesesakan lalu lintas, Beh berkata, beliau turut merasai kesan kenaikan harga barangan akibat wabak Covid-19. RM20 tidak lagi cukup untuk membeli sayur-sayuran dalam kuantiti yang mencukupi, katanya.

“Lima tahun lepas, mi hokkien dijual pada harga RM3.50 sepinggan. Sekarang, RM6.50. Popiah dua kali ganda lebih mahal pada RM5, manakala char koay teow kini RM10 sepinggan. Adakah ini munasabah?”

Bagaimanapun, penjual burger, Lim Kheng Aun, 36, berkata perniagaan berjalan lancar sejak beberapa bulan lepas kerana semakin ramai berbelanja.

Beliau bersetuju bahawa keadaan lalu lintas semakin teruk dan kerajaan negeri boleh mewujudkan lebih banyak bas pergi dan balik daripada kawasan perumahan.

Ooi Leng Tay.

Sementara itu, mengenai usaha kerajaan negeri membantu meringankan kenaikan kos sara hidup, Ooi Leng Tay, 65, berkata beliau lebih suka bantuan tunai berbanding baucar yang diedarkan sekarang.

“Saya hanya boleh menebus baucar tersebut di pasar raya tertentu. Apa gunanya?” kata bekas mekanik itu.

Pemilik gerai pasar Tan Heng Keong, 51, berkata kerajaan negeri harus membantu peniaga sepertinya kerana jualan semakin merosot.

Tan Heng Keong.

“Saya kini terpaksa buka gerai di pasar malam selain pasar pagi, berbanding sebelum ini saya hanya perlu berniaga pada waktu pagi,” katanya.

Jeremy CM Kung.

Jeremy CM Kung yang mengendalikan pusat tuisyen berkata, masalah lalu lintas di pulau itu berpunca secara langsung daripada pembangunan yang berlebihan.

“Kita sudah ada banyak pusat beli-belah, yang antaranya akhirnya gagal. Kondominium pula banyak kosong kerana harganya jauh di luar jangkauan penduduk tempatan,” katanya.

“Namun, kita berterusan meluluskan lebih banyak (pembinaan) pusat beli-belah dan kondominium. Logikkah?”

Bagaimanapun, Kung berkata, di sebalik semua kelemahan kerajaan negeri, beliau tiada pilihan selain mengundinya sekali lagi, kerana “tiada pilihan lain yang lebih berdaya maju”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.