
Dengan pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran pemilih automatik, Derga, yang kini berada dalam kawasan Parlimen Pokok Sena yang dikuasai PAS, mempunyai lebih 10,000 pengundi Melayu baharu.
Pada PRU15 November lalu, Pokok Sena merupakan salah satu daripada 14 kerusi Parlimen yang dimenangi Perikatan Nasional (PN) di Kedah.
Sebelum PRU15, Derga sudah pun menjadi kerusi majoriti Melayu dengan 60% pengundi adalah daripada masyarakat itu, diikuti Cina (35%), India (4%) dan lain-lain (1%).
“Derga adalah kerusi yang agak mencabar. Saya harap penglibatan saya (dengan masyarakat) selama dua penggal lalu membantu saya memperoleh kelebihan (dalam kalangan pengundi),” katanya kepada FMT.
Tan mengakui bahawa perubahan demografi di Derga akan terbukti menjadi cabaran berdasarkan keputusan PRU15, tetapi berkata masih terlalu awal untuk menolak sokongan terhadap PH.
Tambahnya, beliau memerlukan sokongan semua kaum di Derga, bukan sahaja Cina dan India yang menjadi pengundi tradisi PH, tetapi juga Melayu dan Siam.
“Tanpa sokongan orang Melayu di kawasan itu, saya tidak akan dapat berkhidmat selama dua penggal. Tanpa mereka, saya tidak akan berada di sini,” katanya.
Tan juga berkata beliau pernah bekerja dengan akar umbi Umno di Derga sebelum ini dan yakin mereka akan melakukan peranan untuk membantu mendapatkan undi Melayu.
Mengenai populariti Menteri Besar Kedah Sanusi Nor, Tan berkata tidak dapat dinafikan pemimpin PAS itu mampu menarik sokongan kepada PN.
Bagaimanapun, katanya, populariti sahaja tidak mencukupi dan pengundi perlu mengundi calon yang mampu berkhidmat kepada mereka.
“Apabila anda membuang undi untuk memilih pemimpin, anda perlu (memilih) orang yang boleh berkhidmat kepada anda selama lima tahun.”
Kerusi Derga menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Tan, Amri Wahab dari PN dan Man Basiron sebagai calon Bebas.