Dasar gaji progresif sukarela, berteraskan insentif, kata Anwar

Dasar gaji progresif sukarela, berteraskan insentif, kata Anwar

Perdana menteri berkata dasar gaji itu turut terkait produktiviti selepas mengambil kira pandangan majikan dan pekerja.

Anwar Ibrahim berkata mekanisme pelaksanaan gaji progresif akan dibuat berperingkat termasuk peruntukan dana berdasarkan kedudukan kewangan kerajaan. (Gambar PMO)
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata dasar gaji progresif adalah bersifat sukarela, selain berteraskan insentif dan terkait dengan produktiviti.

Beliau berkata, model dasar ini diusulkan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (Mten) selepas mengambil kira pandangan dan kepentingan pihak majikan dan pekerja.

Katanya, sesi libat urus dan tinjauan awal mendapati 62% pekerja dan 80% syarikat menyambut baik cadangan dasar gaji progresif dengan ciri yang dinyatakan.

“…dan Mten berharap dasar ini akan menerima sambutan dan penyertaan sebanyak syarikat dan pekerja yang mungkin. Langkah selanjutnya adalah sesi perbincangan dan libat urus dengan pihak berkepentingan.

“Perkara ini akan dibawa ke Jemaah Menteri bagi memperhalusi mekanisme pelaksanaan secara berperingkat dan meneroka keperluan untuk memperuntukkan dana sebagai insentif dasar ini yang akan ditentukan berdasarkan kedudukan kewangan kerajaan,” katanya dalam kenyataan.

Anwar, yang juga menteri kewangan berkata, dasar gaji tersebut antara reformasi pasaran pekerja memastikan golongan itu tidak dibebankan dengan kos sara hidup dan menikmati gaji bermaruah.

Katanya, berdasarkan Laporan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal) Suku Pertama 2023 yang dibentangkan pada minggu lalu menunjukkan lebih 2 juta pekerja Malaysia masih berpendapatan kurang RM2,000 sebulan.

“Situasi ini lebih membimbangkan buat golongan muda antara umur 20-24 tahun di mana gaji penengah mereka hanyalah RM1,682 sebulan,” katanya.

Justeru, beliau berkata Mten melihat dasar gaji progresif sebagai anjakan memulihkan pasaran pekerja supaya gaji ditingkatkan secara “konsisten dan pengagihan gaji lebih seimbang”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.