Budak 9 tahun kes termuda lahir anak luar nikah

Budak 9 tahun kes termuda lahir anak luar nikah

Kanak-kanak perempuan itu menjadi mangsa seksual abang terpengaruh video pornografi.

Pengerusi Yayasan Ikhlas, Zainur Rashid Zainuddin berkata, kanak-kanak itu dirogol sebelum hamil dalam kejadian yang berlaku di Pulau Pinang kira-kira tiga tahun lalu. (Gambar Freepik)
PETALING JAYA:
Seorang kanak-kanak perempuan sembilan tahun menjadi kes termuda melahirkan anak luar nikah di Malaysia selepas menjadi mangsa seksual abang terpengaruh video pornografi.

Pengerusi Yayasan Ikhlas, Zainur Rashid Zainuddin berkata, kes tiga tahun lalu di Pulau Pinang itu amat membimbangkan kerana kes terdahulu hanya membabitkan remaja 17 dan 18 tahun.

Katanya, seorang daripada 10 remaja di Malaysia pernah melakukan hubungan seks bebas tanpa ikatan perkahwinan.

“Jika dulu kes kelahiran anak luar nikah dalam kalangan remaja berusia 17 hingga 18 tahun, tetapi sekarang berlaku di usia sembilan hingga 13 tahun.

“Di Negeri Sembilan dan Terengganu, ada kes kanak-kanak 11 tahun. Ini amat membimbangkan kerana kadar remaja terlibat kes kelahiran anak tidak sah taraf meningkat 11%,” katanya menurut Sinar Harian sempena pelancaran Modul Pendidikan Seksualiti dan Kesihatan Reproduktif (ReproAlert) di Putrajaya.

Beliau berkata, kebanyakan pelaku membabitkan remaja lelaki 13 hingga 16 tahun kerana terdedah kepada media sosial berkaitan hubungan seksual, yang dikongsi rakan sebaya dalam aplikasi WhatsApp atau Telegram.

Katanya, faktor lain kerana cinta, kerelaan sendiri dan konflik keluarga.

“Ada satu kes yang saya kendalikan, seorang pelajar Tingkatan 1 dan cemerlang, tetapi terlanjur dengan sepupu berumur 14 tahun.

“Kejadian itu terbongkar selepas remaja berkenaan dibawa ke hospital kerana sakit perut, tetapi rupa-rupanya sakit hendak melahirkan anak.

“Keluarga orang susah, ibu menjual kuih dan bapa bekerja dua syif. Mereka tiada masa untuk anak menjadi antara punca keterlanjuran itu berlaku,” katanya meminta ibu bapa mengutamakan komunikasi dengan anak dan meluangkan masa melakukan aktiviti sukan, mendaki atau melancong.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.