Tarik 4,000 ahli baharu, Johor jadi perintis rejuvenasi MCA

Tarik 4,000 ahli baharu, Johor jadi perintis rejuvenasi MCA

Presiden Wee Ka Siong berkata walaupun jumlah ahli besar bukan faktor menang pilihan raya namun penting meremajakan parti.

Wee Ka Siong berkata Johor merupakan tulang belakang parti. (Gambar Utusan)
PETALING JAYA:
Johor dipilih sebagai negeri perintis untuk proses rejuvenasi MCA, kata Presiden Wee Ka Siong.

Beliau berkata, parti menyasar keahlian baharu 4,000 dilakukan secepat mungkin dan diikuti negeri lain.

“Sebagai permulaan, kita memberikan sasaran kepada MCA Johor untuk menarik seramai 4,000 keahlian baharu secepat mungkin, itu permulaan dan perkara ini akan diikuti MCA negeri-negeri lain.

“Walaupun kita sedar jumlah keahlian yang besar bukan faktor utama yang memberikan kemenangan dalam pilihan raya, tetapi, ia penting dalam usaha meremajakan parti, suka atau tidak kita perlu tambah keahlian dengan segera,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Konvensyen Tahunan MCA Negeri Johor 2023 yang diadakan di Taman Desamas, Kulai.

Wee, yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam berkata, usaha menarik keahlian dan penyokong baharu itu akan diterajui dua sayap, Wanita dan Pemuda.

“MCA Johor mempunyai struktur parti yang sangat baik, ia juga kini merupakan tulang belakang parti apabila antara dua Ahli Parlimen dan tujuh Adun MCA, enam daripadanya datang dari Johor,” katanya.

Beliau berkata, menarik ahli baharu juga perlu dibuat sebagai persiapan menjelang PRU16.

“Langkah itu diambil kerana MCA serius melakukan langkah siap siaga dalam mempertahankan kerusi yang dimenangi selain turut berusaha merampas kembali kerusi-kerusi yang kita tewas dengan tipis, itu sasaran kita dalam PRU16 akan datang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.