Saya tak akan kembali sebagai MB Kedah, kata Mukhriz

Saya tak akan kembali sebagai MB Kedah, kata Mukhriz

Presiden Pejuang itu berkata beliau tidak berhasrat untuk kembali ke peringkat DUN sebaliknya fokus untuk bertanding di peringkat Parlimen di Kedah pada PRU16.

Mukhriz Mahathir menyifatkan dakwaan beliau akan menggantikan Sanusi Nor sebagai menteri besar Kedah sebagai ‘mengarut’.
KUALA LUMPUR:
Selepas dua kali tidak dapat menamatkan penggal penuhnya sebagai menteri besar Kedah, Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir berkata, beliau tidak pernah berhasrat kembali semula menerajui Kedah, sebaliknya giat menumpukan usaha untuk bertanding di peringkat Parlimen di Kedah pada PRU16.

Menyifatkan dakwaan terdapat kesepakatan antara Dr Mahathir Mohamad dan Hadi Awang untuk meletakkan beliau menggantikan Sanusi Nor selepas PRN, Mukhriz menganggap tohmahan berkenaan “sebagai mengarut”.

“Saya tak ada apa-apa rancangan untuk kembali ke Kedah sebagai menteri besar. Itu semuanya karut.

“Tak ada sebab untuk saya nak balik semula ke peringkat DUN tetapi di peringkat Parlimen untuk mewakili Kedah itu satu perkara yang terbuka bagi kami (Pejuang),” katanya dalam temu bual bersama FMT.

Mukhriz berkata, tohmahan itu terbukti tidak benar selepas Pejuang mengumumkan tidak meletakkan calon di PRN enam negeri, selain mengambil pendekatan berkecuali.

Dalam sidang media baru-baru ini, beliau berkata, keputusan itu dibuat bagi mengukuhkan kedudukan parti menuju PRU16.

Ura-ura beliau akan dilantik semula sebagai menteri besar Kedah muncul selepas Mahathir dilihat aktif sepentas bersama Hadi dalam ceramah politik Perikatan Nasional (PN), dan beberapa pemimpin PN turut menyokong gerakan Proklamasi Orang Melayu yang digagaskan oleh bekas perdana menteri itu.

Mukhriz mengangkat sumpah sebagai menteri besar Kedah pada 6 Mei 2013 selepas menang DUN Ayer Hitam. Bagaimanapun, tiga tahun selepas itu, beliau meletakkan jawatan selepas majoriti Adun BN mengisytiharkan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan beliau.

Beliau yang pernah menjawat timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri antara 2009 hingga 2013 kembali semula ke Kedah pada 2018 selepas menang di DUN Jitra sebagai calon Bersatu, dan mengangkat sumpah sebagai menteri besar Kedah ke-13. Bagaimanapun, Mukhriz sekali lagi melepaskan jawatannya pada 17 Mei 2020 selepas Langkah Sheraton, yang membawa kepada tertubuhnya Pejuang ketika ini.

Hubungan dengan Dr Mahathir Mohamad

Menurut Mukhriz, percanggahan pendapat dengan bapanya di pentas politik adalah perkara biasa, namun kasih sayang tidak pernah kendur.

“Mungkin dalam soal politik kita ada sedikit perbezaan pendapat, (tetapi) hubungan saya sebagai anak dengan ayah saya memang tak ada berubah sifat kasih sayang seperti dulu, tak tegur menegur ke … itu tak ada. Tak timbul.”

Akuinya, tindakan Mahathir meninggalkan Pejuang pada Februari lalu juga diredai oleh pucuk pimpinan parti, dan tiada langsung dendam terhadap negarawan itu.

“Beliau buat keputusannya sendiri tetapi dalam keadaan diredai oleh semua pihak… baik pihak kami pun OK, tiada kecil hati ke marah ke langsung tak timbul terhadap Tun,” katanya yang menyambut hari lahir Mahathir baru-baru ini bersama ahli Pejuang.

“Hubungan antara Tun dan Pejuang tu akrab seperti biasa, cuma beliau bukan ahli saja.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.