PH-BN N Sembilan janji sedia 4,000 rumah harga mampu milik

PH-BN N Sembilan janji sedia 4,000 rumah harga mampu milik

Aminuddin Harun berkata ikrar itu antara terkandung dalam manifesto jika menang PRN.

Pengerusi PH Negeri Sembilan Aminuddin Harun, berkata manifesto gabungan itu bersama BN menawarkan 70 inisiatif.
SEREMBAN:
Gabungan perpaduan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan berikrar menyedia 4,000 rumah harga mampu milik dalam masa lima tahun, yang menjadi antara manifesto ditawar jika menang PRN.

Pengerusi PH Negeri Sembilan Aminuddin Harun yang mengumumkan perkara itu berkata itu adalah salah satu daripada inisiatif akujanji dikenali sebagai “Aspirasi Perpaduan Negeri Sembilan”.

Aminuddin juga turut berkata, sebanyak 70 inisiatif terkandung dalam 10 teras utama itu.

“Segala inisiatif dan perancangan yang ditawarkan di dalam Aspirasi Perpaduan Negeri Sembilan ini adalah satu tekad dan komitmen daripada pihak BN dan PH Negeri Sembilan kepada rakyat.

“Kami mengharapkan agar rakyat di Negeri Sembilan dapat memberi mandat sekali lagi kepada kami untuk terus kekal mentadbir Negeri Sembilan bagi tempoh lima tahun yang akan datang,” katanya.

Turut hadir dalam pengumuman aku janji PH-BN Negeri Sembilan adalah Ketua Umno Negeri Sembilan Jalaluddin Alias.

Dalam pada itu, Aminuddin turut mengumumkan inisiatif lain seperti caruman Skim Simpanan Pendidikan Nasional RM100 bagi kelahiran anak Negeri Sembilan, bermula 2023 hingga 2027.

Beliau juga berkata, pelajar sekolah juga akan mendapat bantuan kemasukan ke sekolah berasrama penuh sebanyak RM300.

“Pelajar universiti pula akan mendapat bantuan khas kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) iaitu RM1,000 bagi (Ijazah Sarjana Muda), RM750 (Diploma) dan 500 (Sijil Anugerah Khas).

“Manakala yang menamatkan pengajian dengan keputusan ijazah kelas pertama di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) sebanyak RM5,000,” katanya.

Aminuddin berkata, untuk belia pula akan diberikan bantuan perkahwinan RM500 kepada setiap seorang anak negeri yang mendirikan rumah tangga kali pertama.

Beliau berkata, bagi ibu tunggal akan mendapat sumbangan keceriaan tahunan RM200.

“Ini diberikan kepada ibu tunggal berpendapatan RM2,000 ke bawah. Warga emas ke 70 tahun ke atas akan menerima sumbangan keceriaan tahunan sebanyak RM200,” katanya.

Aminuddin juga berkata, bagi mengurangkan beban kos sara hidup, bantuan bank makanan juga diberikan kepada keluarga termiskin berdaftar dalam sistem e-kasih.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.