Mukhriz perlu lihat gambaran lebih besar, kata Peja

Mukhriz perlu lihat gambaran lebih besar, kata Peja

Timbalan presiden Bersatu itu berkata, tidak memberi sokongan kepada Perikatan Nasional akan menyaksikan pesaing mereka menang PRN.

Ahmad Faizal Azumu berkata, beliau tidak menghadiri mesyuarat ketika permohonan Pejuang ditolak dan tidak tahu apa yang berlaku.
KUALA LUMPUR:
Seorang pemimpin Bersatu berkata, Mukhriz Mahathir perlu melihat “gambaran lebih besar” selepas presiden Pejuang itu bingung dengan permintaan gabungan pembangkang terbabit untuk berkempen bagi Perikatan Nasional (PN) dalam PRN enam negeri.

Timbalan Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu berkata, Mukhriz perlu faham tidak memberi sokongan kepada PN akan menyaksikan pesaing mereka, Pakatan Harapan dan Barisan Nasional, menang.

“Jika itu yang dia mahu, terpulanglah.

“Beliau perlu melihat gambaran lebih besar,” katanya selepas ceramah di sini malam tadi.

Semalam, Mukhriz secara sinis mempersoalkan pendirian PN menolak permohonan Pejuang menyertai gabungan pimpinan Muhyiddin Yassin itu, tetapi masih mengharapkan bantuan mereka untuk kempen PRN.

Bekas menteri besar Kedah itu mendedahkan pemimpin Pejuang masih diundang untuk membantu kempen calon PN dan diminta berucap di pentas ceramah politik mereka.

Katanya, Pejuang enggan terbabit dalam kempen PN serta tidak menggerakkan jenteranya kerana mengambil pendekatan berkecuali selepas kepimpinan parti mengambil keputusan tidak bertanding pada PRN enam negeri.

Pejuang memohon untuk menyertai PN pada Januari lalu.

Faizal yang lebih dikenali sebagai Peja berkata, Pejuang perlu memohon untuk menyertai PN semula.

Katanya, beliau tidak menghadiri mesyuarat ketika permohonan Pejuang ditolak dan tidak tahu apa yang berlaku.

“Tetapi akhirnya, adalah penting untuk kita mempunyai matlamat sama.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.