Model politik kerajaan perpaduan mampu ubah landskap PRN 6 negeri

Model politik kerajaan perpaduan mampu ubah landskap PRN 6 negeri

Naib Presiden Amanah Adly Zahari berkata model politik PH-BN akan membawa keputusan PRN jauh berbeza berbanding PRU15.

Adly Zahari yang juga timbalan menteri pertahanan, berkata 49,660 anggota tentera bersama pasangan akan mengundi awal pada 8 Ogos melibatkan 260 pusat mengundi. (Gambar Bernama)
JERLUN:
Kerjasama Barisan Nasional (BN)-Pakatan Harapan (PH) di bawah kerajaan perpaduan merupakan “model politik baharu” yang mampu merubah senario PRN enam negeri 12 Ogos.

Naib Presiden Amanah Adly Zahari berkata, kerjasama komprehensif dipamerkan gabungan itu pastinya menjadi titik tambah dalam pemilihan pemimpin di semua negeri terbabit berdasarkan pemerhatiannya sepanjang tempoh berkempen.

“Kerjasama antara PH dan BN merupakan model politik baharu. Kita yakin akan dapat keputusan yang jauh berbeza daripada PRU15 yang lalu.

“Macam model politik Perikatan Nasional, dia tidak kekal dan bertukar-tukar,” katanya ketika ditemui Bernama.

Dalam pada itu, Adly berkata calon Amanah dilihat berpotensi besar untuk menang di Pulau Pinang, Selangor, dan Negeri Sembilan berdasarkan rekod perkhidmatan cemerlang yang dipamerkan parti itu di negeri berkenaan.

“Saya selaku pengarah pilihan raya Amanah rasa Amanah cukup berpotensi di Negeri Sembilan, Selangor, dan Pulau Pinang tapi mungkin ada satu atau dua Dewan Undangan Negeri (DUN) yang persaingan dia agak besar, (tapi) saya fikir boleh diselesaikan dengan kerjasama dengan BN,” katanya.

Adly berkata, Amanah turut berbesar hati dengan kepercayaan diberikan kepada parti itu di tiga lagi negeri iaitu Kedah, Kelantan, dan Terengganu.

“Contohnya DUN Kuala Nerang, Kedah yang dulunya kubu kuat Umno kini diserahkan kepada calon Amanah untuk meneruskan perjuangan di kawasan berkenaan,” katanya.

Mengulas mengenai pengundian awal PRN di enam negeri Selasa ini (8 Ogos), Adly yang juga timbalan menteri pertahanan menyeru agar 49,660 anggota tentera bersama pasangan masing-masing keluar mengundi di 260 pusat mengundi awal.

“Semua (anggota tentera) diberi ruang (undi awal)…tiada masalah. Saya fikir peratus undi awal (anggota pertahanan) akan kekal tinggi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.