
Pengerusi BN Zahid Hamidi berkata, beliau telah menyemak perkara berkenaan dengan peguam.
“Tidak ada satu pun peraturan yang menghalang (pencalonan itu) dan saya telah rujuk dengan peguam-peguam kita,” katanya pada program ceramah kempen PRN DUN Kuang di Bandar Tasik Puteri malam tadi.
Hasnal dicalon mewakili BN bagi merebut kerusi DUN Kuang berhadapan penyandang kerusi itu, Sallehudin Amiruddin (Bebas) dan Mohd Rafiq Abdullah (PN-Bersatu).
Ahmad Zahid berkata, sebagai produk yang dilahirkan oleh Suhakam, selain Hasnal sendiri adalah seorang pengamal undang-undang, beliau berpendapat tokoh sebeginilah yang harus disokong, bukan sahaja oleh pengundi Kuang, tetapi juga oleh badan profesional berkenaan.
Namun katanya, mengikut etika, lebih sesuai Hasnal mengundur diri daripada Suhakam bagi menumpukan perkhidmatannya kepada penduduk di Kuang.
Mengenai prestasi kempen parti-parti komponen kerajaan perpaduan di enam negeri terlibat PRN, Zahid berkata, beliau masih belum berpuas hati.
“Tempoh berkempen hingga 8 Ogos, iaitu untuk pengundi awal dan daripada 8 Ogos hingga 12 Ogos, tempohnya singkat, tapi kita yakin kalau kita berpuas hati dari sekarang maka kita tidak akan bekerja,” katanya.
Timbalan perdana menteri itu berkata, beliau sekali lagi akan turun di enam negeri berkenaan bersama Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk menyantuni jentera dan para pengundi.
PRN di Terengganu, Kelantan, Kedah, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan pada 12 Ogos ini akan diadakan serentak dengan PRK Kuala Terengganu, dengan pengundian awal ditetapkan pada 8 Ogos.