Projek PSI batal jika PN ambil alih P Pinang, kata Lau

Projek PSI batal jika PN ambil alih P Pinang, kata Lau

Presiden Gerakan berkata tumpuan PN sebaliknya adalah membangunkan pelancongan eko di perkampungan nelayan.

Presiden Gerakan Dominic Lau bersama wakil Persatuan Nelayan Pulau Pinang, dan calon PRM Ravinder Singh (kanan).
GEORGE TOWN:
Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSI) akan dibatalkan jika Perikatan Nasional (PN) membentuk kerajaan negeri seterusnya, kata Presiden Gerakan Dominic Lau.

Lau, yang bertanding di kerusi Bayan Lepas untuk PRN 12 Ogos, berkata tumpuan PN sebaliknya adalah membangunkan pelancongan eko di perkampungan nelayan Pulau Pinang.

“Jika PN diberi mandat selepas PRN, kita akan batalkan projek penambakan. Kita takkan benar satu pulau pun dibangunkan,” katanya pada sidang media di perkampungan nelayan di Bayan Lepas.

Ketua PN Pulau Pinang itu berkata, beliau faham kesukaran dihadapi nelayan yang terjejas akibat projek itu.

Katanya, PN bukan menentang pembangunan di Pulau Pinang, tetapi idea DAP untuk membangunkan negeri itu nampaknya terhad kepada tebus guna tanah dan membina kondominium tidak mampu dimiliki kebanyakan rakyat Pulau Pinang.

“Ini sebab saya kata mereka kerajaan untuk warga asing, (kerajaan) yang bina kondominium untuk orang Singapura, Taiwan dan Hong Kong,” katanya.

Apabila diberitahu kerajaan negeri pimpinan Gerakan sebelum ini  meluluskan projek penambakan, Lau berkata projek itu adalah untuk perumahan mampu milik.

Beliau memetik projek tebus guna pantai timur untuk membina kawasan kediaman mampu milik pada 1990-an.

Pada Mei, Ketua Menteri Chow Kon Yeow mengumumkan projek PSI akan dikecilkan kepada satu pulau berukuran 931ha, bukan tiga pulau seperti rancangan asal (berukuran 1,821ha setiap satu), di selatan landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

Pembangunan kini akan memberikan tumpuan kepada Pulau Silikon, dahulunya dikenali sebagai Pulau A, yang akan mengambil masa 20 tahun untuk disiapkan, mengikut anggaran projek.

Turut mengiringi Lau pada sidang media hari ini adalah wakil Persatuan Nelayan Pulau Pinang dan Ravinder Singh, calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) bagi kerusi DUN Pantai Jerejak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.