
Bercakap kepada FMT, beliau yang juga timbalan ketua Umno Selangor berkata hasil pertemuan dengan pemimpin kawasan dan akar umbi DAP, mereka berikrar tidak akan beri ruang kepada calon Perikatan Nasional.
“Saya dah jumpa pemimpin dan akar umbi DAP, mereka buat keputusan tak sokong PN tetapi tetap akan sokong PH-BN,” katanya mengulas laporan sebelum ini bahawa ramai penyokong DAP kecewa apabila bekas Adun Edry Faizal Yusof tidak dicalonkan semula pada PRN kali ini.
“Saya kena ‘move forward’ memikirkan nak merencana dan merancang tambah baik apa yang sepatutnya rakyat Dusun Tua dapat. Itu janji saya,” tekad bekas Adun Semenyih dua penggal ini.
Dusun Tua antara dua kerusi Pakatan Harapan yang diserahkan kepada BN pada PRN 12 Ogos ini. Pada PRU14, Edry menang dengan majoriti 10,422 undi untuk menewaskan calon BN dan PAS.
Mahu selesaikan isu banjir
Bah besar melanda akhir 2021 memberi kesan besar kepada Hulu Langat termasuk Dusun Tua. Banyak kediaman musnah dan jalan raya rosak teruk akibat banjir.
Johan berkata selaku ketua Umno Hulu Langat, beliau mengambil tanggungjawab membawa perdana menteri ketika itu Ismail Sabri Yaakob meninjau sendiri kerosakan; serta jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran untuk melihat perancangan membina tebatan banjir.
“Saya nak selesaikan isu banjir secepat mungkin… karakter saya tak malu dan saya suka minta untuk rakyat.
“Siapa nak fight kalau tak selari dengan persekutuan?” soalnya.
“Bagi saya peluang untuk bantu perkara yang menghantui penduduk Dusun Tua… banjir ini.”