Insiden babit Lau, Guan Eng gesa PAS cela perbuatan pemimpinnya di P Pinang

Insiden babit Lau, Guan Eng gesa PAS cela perbuatan pemimpinnya di P Pinang

Pengerusi DAP itu juga meminta Dominic Lau tidak menipu diri sendiri dengan 'menutup kesalahan' PAS.

Lim Guan Eng menggesa PAS menyuruh Setiausaha PAS Pulau Pinang Iszuree Ibrahim memohon maaf secara terbuka kepada Dominic Lau. (Gambar Facebook)
GEORGE TOWN:
PAS digesa agar mencela perbuatan seorang pemimpinnya di Pulau Pinang dan memintanya memohon maaf kerana mengusir Presiden Gerakan Dominic Lau dari ceramah Perikatan Nasional di Sungai Dua pada Selasa.

Pengerusi DAP Lim Guan Eng berkata, Lau tidak seharusnya menipu dirinya sendiri dengan “menutup kesalahan” PAS.

“Video itu menunjukkan Lau diusir. Apa yang kamu cakap ni? Jangan tipu diri sendiri, semua orang mentertawakan (kamu),” kata Lim.

Lau sebelum ini menafikan beliau diminta meninggalkan ceramah itu, menjelaskan bahawa beliau pergi ke ceramah itu untuk berjumpa Presiden PAS Hadi Awang, yang meminta untuk berjumpa pada 9 malam.

Bagaimanapun, Hadi hanya tiba pada 10.30 malam, dan Lau terpaksa meninggalkan acara itu untuk menghadiri mesyuarat lain di Bayan Lepas, di mana beliau bertanding sebagai calon pada PRN.

Semalam, Timbalan Presiden Gerakan Oh Tong Keong menggesa PAS agar menjelaskan mengapa Lau diminta meninggalkan ceramah itu. Katanya, parti itu menunjukkan rasa tidak hormat kepada timbalan pengerusi PN dan ketua PN Pulau Pinang itu.

Lim berkata, parti itu patut mencela tindakan Setiausaha PAS Pulau Pinang Iszuree Ibrahim, individu yang didakwa mengusir Lau.

“PAS juga harus meminta beliau memohon maaf kepada Dominic secara terbuka,” katanya.

Awal hari ini, PAS memohon maaf atas insiden membabitkan Lau itu. Setiausaha Agungnya, Takiyuddin Hassan berkat, kehadiran Lau pada ceramah PN itu “perlu diterima dan dihargai sebagai tetamu berdasarkan akhlak dan prinsip-prinsip Islam”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.