
Calon Perikatan Nasional (PN) DUN Jitra itu berkata, penamatan tugas yang berkuat kuasa Januari lalu, dua bulan selepas pertukaran tampuk pemerintahan Putrajaya, menjadi sejarah dan kini beliau mahu fokus kepada PRN.
“Saya yakin pengajian tinggi perlu bebas dari pengaruh politik dan apa yang telah berlaku kepada saya sebagai sejarah.
“Namun saya tak mahu melihat ke belakang, saya tawarkan diri kepada penduduk Jitra…sekiranya jadi wakil rakyat ingin bantu jadikan Kedah sebagai sebuah negeri maju dan sejahtera,” katanya kepada FMT.
Haim, 50, dilantik sebagai naib canselor UUM pada 17 Jan tahun lalu menggantikan Ahmad Bashawir Abdul Ghani, namun dipendekkan perkhidmatannya setahun kemudian kerana didakwa ada aduan membabitkannya.
Baru-baru ini, tular di TikTok dakwaan Haim bahawa perkhidmatannya dipendekkan tanpa sebab dan tidak diberi peluang untuk membela diri.
Kementerian Pendidikan Tinggi menjelaskan tindakan itu dibuat berikutan laporan prestasi kepimpinan Haim yang dikemukakan Lembaga Pengarah Universiti melalui surat bertarikh 16 Jun 2022.
Sementara itu, Haim berkata beliau berhasrat menjadikan DUN Jitra sebagai bandar ilmu jika menang selain meningkatkan aspek kebersihan, pembangunan ekonomi dan masyarakat.
“Saya akan jadikan Jitra bandar ilmu hebat, bangunkan ekonominya dan jaga kebersihan supaya ia menjadi bandar idaman kepada semua,” katanya yang memilih PAS kerana ia terbuka kepada semua termasuk profesional.