Punca pencemaran bau di sekolah masih misteri

Punca pencemaran bau di sekolah masih misteri

Jabatan Alam Sekitar berkata siasatan awal tidak menemui kesan pelupusan haram atau pelepasan buangan terjadual sekitar kawasan.

Seramai 24 pelajar, dua guru dan dua petugas kantin SK Sungai Tiram di Kampung Sungai Tiram, Johor, mengadu pening dan muntah selepas terhidu suatu bau sekitar 3 petang Selasa lalu. (Gambar Facebook)
JOHOR BAHRU:
Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor masih menyiasat punca pencemaran bau di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tiram, Kampung Sungai Tiram, susulan siasatan awal tidak menemui sebarang kesan pelupusan haram atau pelepasan buangan terjadual di mana-mana premis di sekitar kawasan tersebut.

Pengarahnya Mohd Famey Yusoff berkata pemantauan yang dilakukan pasukan penyiasat JAS bersama Pasukan Unit Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) dan Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) turut mendapati kualiti udara serta sampel yang diambil daripada tali air serta sungai di kampung tersebut adalah normal.

Justeru, beliau berkata pihaknya belum mengenal pasti punca pencemaran itu dan siasatan di lapangan diteruskan.

“JAS masih belum dapat kenal pasti punca menerusi siasatan yang kita lakukan menggunakan dron bagi mengesan sekiranya ada pelupusan haram atau di kilang-kilang ada pelepasan. Bagaimanapun, siasatan dan pemantauan akan diteruskan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Famey berkata pihaknya turut melakukan siasatan terhadap sebuah kilang haram memproses minyak masak terpakai di kampung tersebut, yang pada awalnya disyaki terlibat dalam kes pencemaran itu, berdasarkan penemuan beberapa tong ketika pemantauan.

Beliau berkata bagaimanapun kilang itu didapati tidak terlibat berikutan tiada kesan pelupusan haram atau pelepasan buangan terjadual ditemui, serta tali air berdekatan premis tersebut tidak berhubung dengan sungai.

Famey berkata MBPG telah mengambil tindakan menyita kilang terbabit semalam kerana beroperasi secara haram.

Selasa lalu seramai 24 pelajar, dua guru dan dua petugas kantin sekolah tersebut mengalami pening dan muntah selepas terhidu suatu bau sekitar 3 petang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.