
Timbalan Ketua PAS Rembau Rozmal Malakan yang diletakkan di DUN Rantau berkata partinya tiada kekuatan untuk bertanding solo di negeri itu dan keadaan sama turut dialami rakannya, Bersatu dan Gerakan.
Menurutnya, kekuatan itu kerana mereka dipimpin bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin yang memberi arahan jelas.
“PAS sebagai satu entiti memang tidak kuat. Mana-mana parti tidak kira PAS, Gerakan atau Bersatu tidak akan kuat (jika bertanding solo).
“(Bila bergabung mewakili PN), sepatutnya makin kuat,” katanya kepada FMT selepas program walkbout di Medan Nusari.
Rozmal mencabar penyandang DUN Rantau Mohamad Hasan yang juga timbalan presiden Umno dan menteri pertahanan.
Bekas pengurus kualiti syarikat Jerman di Senawang dari 1996 hingga 2022 itu berkata beliau tidak akan menyerang peribadi Mohamad atau lebih mesra dikenali sebagai Tok Mat.
“Kita tidak serang antara satu sama lain.
“Kita lebih kepada penambahbaikan, perkara kurang kita perbaiki dan hubungan secara profesional,” katanya.