Zuraida ‘intai’ Gerakan

Zuraida ‘intai’ Gerakan

Bekas menteri perumahan dan kerajaan tempatan tidak menolak menyertai Gerakan apabila membantu kempen Dominic Lau di Bayan Lepas.

Zuraida Kamaruddin berkata beliau tidak berehat daripada politik dan mahu membantu Perikatan Nasional menembusi kawasan bukan Melayu.
PETALING JAYA:
Zuraida Kamaruddin tidak menolak menyertai Gerakan selepas turun padang berkempen untuk presiden parti itu, Dominic Lau yang bertanding kerusi Bayan Lepas.

Katanya, beliau mahu membawa imej lebih terbuka yang boleh diterima semua lapisan masyarakat.

“Mungkin…ada kemungkinan (masuk Gerakan) saya akan cari platform yang saya sebut akan membawa kepelbagaian bangsa,” katanya menurut Berita Harian selepas sesi tinjauan mesra di Jalan Mahkamah dan Pasar Sungai Ara, Bayan Lepas.

Zuraida yang pernah menyertai Bersatu dan Parti Bangsa Malaysia (PBM), berkata beliau tidak berehat daripada politik dan mahu membantu Perikatan Nasional (PN) menembusi kawasan bukan Melayu.

“Saya lebih menumpukan kepada usaha membantu PN menembusi kawasan bukan Melayu serta mendapatkan sokongan pengundi bukan Melayu kerana saya rasa saya boleh main peranan itu,” katanya.

Selain itu, beliau turut bercadang tampil di pentas ceramah PN dalam memberi penerangan terutama membabitkan isu berkaitan pengalamannya ketika menjadi menteri perumahan dan kerajaan tempatan.

“Hasrat saya membantu PN mendapatkan pengundi bukan Melayu kerana saya lihat PAS sudah ramai pemimpin Melayu, Bersatu ada Muhyiddin Yasin, Azmin Ali, ada Peja (Faizal Azumu).”

Sebelum menyertai Bersatu dan PBM, Zuraida adalah naib presiden PKR dan antara “pemain utama” dalam Langkah Sheraton bersama Azmin yang juga bekas timbalan presiden parti itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.