Video kait Sultan Perak dengan kepartian kes 3R, kata KPN

Video kait Sultan Perak dengan kepartian kes 3R, kata KPN

Ketua Polis Negara, Razarudin Husain berkata, polis sudah mengambil keterangan seorang wanita dikaitkan dengan video itu.

Pejabat Sultan Perak membuat laporan polis berhubung video mengolah kenyataan Sultan Nazrin Shah yang dipercayai untuk mempengaruhi pengundi pada PRN enam negeri.
PETALING JAYA:
Ketua Polis Negara, Razarudin Husain berkata klip video tular disunting hingga mengheret kedudukan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah bagi tujuan politik kepartian diklasifikasikan kes 3R (raja, bangsa dan agama).

Katanya, polis sudah mengambil keterangan seorang wanita berusia 40-an yang dikaitkan dengan video itu semalam.

“Tiada tangkapan setakat ini dan polis telah merekod keterangannya.

“Sama ada dia akan dipanggil semula, itu bergantung kepada siasatan. Ini ialah kes 3R kerana mewujudkan sentimen raja,” katanya menurut Sinar Harian.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia serta Akta Hasutan 1948.

Semalam, Razaruddin mengesahkan 24 laporan diterima berhubung kes itu dan siasatan sedang dijalankan.

Sebelum itu, Pejabat Sultan Perak membuat laporan polis berhubung video mengolah kenyataan Sultan Nazrin, yang dipercayai untuk mempengaruhi pengundi agar menyokong PAS pada PRN enam negeri.

Katanya, pihak terbabit memilih “sebahagian kecil” titah Sultan Nazrin pada 2013 untuk video yang diolah dengan cara mengheret kedudukan seorang raja pemerintah untuk tujuan politik kepartian.

“Sultan Nazrin tidak sama sekali memihak dan jauh sekali daripada memberikan sokongan secara terbuka kepada mana-mana kumpulan politik,” kata pejabat itu dalam kenyataan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.