
Pengerusi DAP Lim Guan Eng memberi jaminan bahawa “semua penyokong DAP akan mengundi calon Barisan Nasional (BN)”.
“Saya harap BN dapat beri jaminan bahawa semua penyokong mereka (juga) akan undi Pakatan Harapan (PH).
“Jika ini dapat dilakukan, kita boleh capai tahap baharu yang mengagumkan,” kata ketika pelancaran manifesto PH dan BN.
Lim bagaimanapun berkata, “kebolehpindahan undi” hanya akan berjaya jika pengundi keluar mengundi.
Beliau turut menggesa kerajaan sementara Pulau Pinang mengisytiharkan 12 Ogos sebagai cuti umum bagi memastikan peratusan keluar mengundi tinggi.
Peratusan keluar mengundi yang rendah, katanya, “tidak bagus untuk kita”.
Kemudian pada acara sama, Umno Pulau Pinang berkata, ia akan membalas jaminan sokongan DAP, berikrar ahlinya akan menyokong calon PH.
Ketua Umno negeri Musa Sheikh Fadzir berkata, pihaknya akan melakukan yang terbaik untuk menjamin semua undi bagi calon perpaduan.
“Kita mahu kekalkan kerajaan perpaduan ini dan kita boleh beri jaminan bahawa kesemua enam kerusi ini akan dimenangi oleh Umno,” katanya.
Beberapa hari lepas, seorang penganalisis politik memberi amaran tentang potensi peratusan keluar mengundi yang rendah pada PRN jika Umno dan DAP tidak sebulu sebagai rakan gabungan setelah berdekad-dekad bermusuhan.
Syaza Syukri daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, kedua-dua parti bertanggungjawab meyakinkan penyokong masing-masing tentang kepentingan mengundi, walaupun ini bermakna menyokong parti lain dalam kerajaan perpaduan.
Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara juga memberitahu FMT bahawa penyokong PH tiada masalah menyokong BN, sebaliknya kebarangkaliannya lebih rendah untuk penyokong BN menyokong PH.