Menang di 3 negeri akan henti desas-desus kerajaan perpaduan jatuh, kata wakil PH

Menang di 3 negeri akan henti desas-desus kerajaan perpaduan jatuh, kata wakil PH

Rajiv Rishyakaran berkata, kemenangan di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan akan membuktikan rakyat menyokong kestabilan.

Rajiv Rishyakaran dalam misi mempertahankan DUN Bukit Gasing buat penggal ketiga.
PETALING JAYA:
Kemenangan gabungan perpaduan di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan akan menamatkan desas-desus mengenai kejatuhan kerajaan perpaduan, kata calon Pakatan Harapan di Bukit Gasing.

Rajiv Rishyakaran berkata, kemenangan di tiga negeri itu akan menunjukkan rakyat menyokong kestabilan dibawa kerajaan perpaduan.

“Kemenangan untuk pasukan perpaduan di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan akan menghentikan desas-desus ini,” katanya kepada FMT.

Rajiv dalam misi mempertahankan kerusinya di Bukit Gasing untuk penggal ketiga. Beliau berdepan VKK Raja dari Muda dan D Nallan dari Perikatan Nasional.

Mengenai gesaan Raja pada Jumaat lalu untuk pemilihan kerajaan tempatan diadakan, katanya, beliau menyokong idea itu, tetapi ia mungkin tidak dilaksanakan dalam penggal kerajaan sedia ada kerana mungkin tidak mendapat sokongan Barisan Nasional.

Khamis lalu, Raja menggesa pengundi Bukit Gasing mendesak calon PRN berjanji menyokong pilihan raya kerajaan tempatan.

Semua 14 calon Muda di Selangor berjanji akan mendesak perubahan itu dilakukan, jika menang.

Rajiv berkata, beliau mahu terus mempelopori kaedah lestari bagi membaiki Bukit Gasing sekiranya dipilih semula, dan memetik beberapa program berjaya dilaksanakan sepanjang memegang jawatan itu.

“Kami bermula dengan Kumpool yang amat berjaya. Ia tidak pernah didengar sebelum kami melancarkannya, dan kini sudah terkenal dan meluas,” katanya.

Kumpool adalah aplikasi e-panggilan berkongsi kenderaan yang menyediakan pengangkutan antara stesen pengangkutan awam dengan kediaman.

Katanya, penduduk setempat boleh menemuinya setiap Rabu dari 5 petang hingga 7.30 malam.

“Menerusi interaksi dengan mereka, kami menyelesaikan lebih 6,000 isu sejak 10 tahun lalu.”

Beliau berkata, pejabatnya mengendalikan beberapa sesi bantuan guaman, saringan kesihatan dan kelas telefon pintar untuk warga emas setiap tahun, selain meraikan sambutan perayaan utama bagi setiap masyarakat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.