
Ini berikutan keputusan panel tiga hakim, terdiri daripada Hakim Hadhariah Syed Ismail, See Mee Chun dan Azmi Ariffin, yang menolak rayuan Mohammad Firdaus Mohsin, 38, untuk mengetepikan sabitan dan hukuman mati ke atasnya.
Ketika menyampaikan keputusan, Hadhariah berkata, tiada merit dalam rayuan Mohammad Firdaus, dan sabitan terhadapnya selamat untuk dikekalkan.
Pada 3 Dis, 2021, Mahkamah Tinggi Shah Alam mendapati Mohammad Firdaus bersalah mengedar dadah itu di daerah Hulu Langat, Selangor pada 28 Mac 2017.
Mohammad Firdaus mempunyai satu lagi peluang merayu di Mahkamah Persekutuan.
Menurut fakta kes, sepasukan polis daripada IPD Kajang yang dihantar ke kawasan itu setelah mendapat maklumat ternampak Muhammad Firdaus membawa dua beg dalam keadaan yang mencurigakan.
Polis menemukan beberapa kepingan daun mampat dalam satu daripada beg itu, yang kemudiannya disahkan oleh Jabatan Kimia sebagai ganja.
Dalam pembelaannya, Mohammad Firdaus mendakwa beg berkenaan bukan kepunyaannya tetapi milik seorang pemandu Uber, dan dia menjaga beg itu sementara menunggu pemandu Uber itu meletak kenderaan.
Mohammad Firdaus mendakwa beliau datang ke Kuala Lumpur dari Pulau Pinang untuk menghadiri satu acara dan menunggu bapa saudaranya untuk menjemputnya.
Semasa perbicaraan, pemandu Uber Mohd Sabri Salleh memberi keterangan bahawa dia menerima tempahan daripada Mohammad Firdaus untuk menghantar ahli perniagaan itu ke stesen KTM Kajang dari KL Sentral.
Katanya, Mohammad Firdaus membawa beg-beg itu dan kemudian meletakkannya di tepinya di kerusi belakang kereta.
Peguam Afifuddin Ahmad Hafifi mewakili Mohammad Firdaus sementara Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairuz Johari mengendalikan pendakwaan.