Calon PH Seri Setia mahu modenkan pentadbiran negeri

Calon PH Seri Setia mahu modenkan pentadbiran negeri

Fahmi Ngah mahu guna pengalaman dalam Smart Selangor untuk memberi perkhidmatan bermakna buat rakyat.

Fahmi Ngah pernah menjadi pengarah Selangor Research Institute dan ketua pegawai eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor.
PETALING JAYA:
Selepas berjaya menghasilkan pelbagai inisiatif memudahkan urusan orang ramai secara dalam talian seperti aplikasi Smart Selangor Parking (SSP), calon Pakatan Harapan (PH) DUN Seri Setia Fahmi Ngah berazam memodenkan pula pentadbiran negeri.

Berkelulusan doktor falsafah (PhD) dalam bidang kejuruteraan aeronautik dari Imperial College London, Fahmi menjadi tulang belakang kepada program Smart Selangor untuk menjadikan Darul Ehsan sebagai negeri pintar menjelang 2025.

Aplikasi SSP kini digunakan 2.2 juta pengguna memudahkan pembayaran parkir tanpa kupon, antara usaha anak jati Kelana Jaya itu yang juga bekas ketua pegawai eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor termasuk di bawah pentadbiran Anwar Ibrahim.

Bekas pengarah Selangor Research Institute itu yang turut bersama membangunkan pengurusan sisa pepejal sistematik, percaya pengalamannya dapat menyediakan sistem penyampaian awam lebih baik.

“Masalah rakyat hadapi bila berurusan dengan kerajaan kadang-kala boleh membuatkan mereka marah sebab masih guna kaedah lama…kena ambil nombor dan borang sebagainya.

“Sedangkan kita telah moden dan pembaharuan ini saya hendak kembangkan untuk selesaikan masalah terbabit supaya memberi perkhidmatan lebih bermakna,” katanya kepada FMT.

Pada 12 Ogos depan, Fahmi akan berdepan Zubir Embong (Perikatan Nasional), Dobby Chew (Muda) dan Harindran Krishnan (bebas).

Kerajaan negeri dan pusat harus ‘serasi’

Fahmi berkata kerajaan pusat dan negeri juga harus serasi, dengan memberi contoh kejayaan Putrajaya menarik pelaburan berteknologi tinggi di Selangor seperti industri kereta elektrik milik pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SpaceX Elon Musk.

“Selangor dipilih sebab ada kemampuan intelektual, saya rasa kita tak boleh jadi negeri pertanian sepenuhnya memandangkan tanah tidak cukup dan tiada galian, tetapi untuk abad mendatang aset kita adalah kemampuan intelektual serta pembentukan kecerdasan buatan (AI).

“Ini peluang untuk anak-anak muda Selangor bila mereka bertapak di sini, mungkin boleh dapat gaji USD2,000 sebulan, sebab itu mereka kena kuasai bahasa Inggeris, ilmu sains dan bersedia bila pekerjaan itu dicipta,” katanya.

Menurutnya, keserasian di antara kerajaan negeri dan pusat itu jugalah menyebabkan Selangor mula membangun terutama ketika Muhammad Taib mengetuai pentadbiran negeri ditadbir Umno dan Barisan Nasional.

“Kenapa beliau berjaya ketika itu? Sebab ada keserasian antara pusat dan negeri, menariknya ketika itulah Kuala Lumpur dibangunkan dengan kewujudan Putrajaya dan Cyberjaya yang tanah asalnya milik Selangor,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.