
Rosiah Osman, yang bekerja dengan Zahid dari 1994 hingga 2011, berkata replika tandatangan hanya digunakan bagi kad ucapan perayaan dan sijil penghargaan.
Katanya, cop itu dibuat bagi meringankan beban Zahid bagi menandatangani kad ucapan dan sijil.
“Tujuan cop digunakan untuk senangkan dia sign (tandangan) sijil surat penghargaan, kad-kad raya…kalau satu-satu letih, itu tujuan cop dibuat,” kata Rosiah.
Katanya, Zahid pernah mengeluarkan lebih 4,000 kad ucapan dan kira-kira 500 sijil.
Rosiah berkata, apabila berhenti pada 2011, dia menyerahkan cop bersama benda lain seperti buku cek Zahid dan diari kerja kepada Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly.
Disoal peguam Zahid, Hamidi Mohd Noh sama ada saksi berkenaan memaklumkan penggantinya cop tersebut tidak dibenar diguna untuk cek, Rosiah mengiyakannya.
Rosiah berkata, dia memberitahu Mazlina bahawa cek peribadi Zahid untuk digunakan bagi pembayaran perbelanjaan kad kredit peribadinya, manakala cek Yayasan Akalbudi boleh digunakan bagi membayar balik Zahid jika beliau menggunakan kadnya untuk membeli barangan seperti peralatan elektrik dan perabot bagi masjid.
Rosiah juga berkata, selepas berhenti, Mazlina tidak pernah menghubunginya untuk bertanya berhubung hal ehwal kerja.
Ketika memberi keterangan pada 2020, Mazlina memberitahu mahkamah Zahid memberi kebenaran kepada pegawainya menggunakan cop tandatangan terbabit untuk membuat pembayaran kad kredit menggunakan cek Yayasan Akalbudi.
Pihak pembelaan berhujah Mazlina merupakan penyebab Zahid berdepan tuduhan pecah amanah jenayah (CBT) berhubung dakwaan salah guna dana Yayasan Akalbudi.
Zahid berdepan pertuduhan pengubahan wang dan CBT melibatkan jutaan dana Yayasan Akalbudi, dan menerima rasuah dari pelbagai projek ketika menjadi menteri dalam negeri.
Sebanyak 12 daripada pertuduhan adalah untuk CBT, lapan untuk rasuah dan selebihnya pengubahan wang haram.
Pendengaran bersambung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah pada Rabu.