
Qhazanah Sabah Bhd (QSB), cabang pelaburan strategik kerajaan Sabah, juga menjangkakan pemindahan KKIA akan dimulakan pada 2030.
Menurut Borneo Post, Pengerusi QSB Yusof Yacob, berkata pihaknya telah menyerahkan kajian kebolehlaksanaan projek yang dicadangkan kepada Unit Perancang Ekonomi Sabah (UPEN) dan mendapat maklum balas positif.
“Tidak lama lagi, ia akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk kelulusan. Ia akan dilaksanakan secara berperingkat. Akan ada penyelarasan dengan pihak berkepentingan, termasuk (pemaju hartanah) Syarikat Berjaya Land Berhad, kementerian pengangkutan dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB),” katanya.
Yusof berkata pemindahan KKIA ke Kimanis bukan sahaja akan memperluaskan lapangan terbang Sabah tetapi memudahkan pembangunan perkhidmatan sokongan, seperti pusat latihan aeroangkasa dan perbandaran lapangan terbang baharu seluas 15,000 hektar.
“Proses pembinaan juga direka untuk mengelakkan gangguan kepada terminal minyak dan gas (SOGT) sedia ada di kawasan Kimanis,” katanya sambil menambah bahawa lapangan terbang Kimanis adalah “wawasan jangka panjang” untuk Sabah.
QSB menandatangani memorandum persefahaman dengan Berjaya Land untuk meneroka pemindahan KKIA ke Kimanis pada Jun tahun lepas.
Perunding pengangkutan Rosli Azad Khan membantah idea itu sebelum ini, dengan memberitahu FMT bahawa lapangan terbang baharu bukanlah keutamaan bagi Sabah, dengan KKIA menyaksikan pesawat mendarat atau berlepas setiap 12 minit.
Sebagai perbandingan, katanya, sebuah pesawat akan mendarat atau berlepas setiap dua minit di Lapangan Terbang Heathrow London, dan setiap empat minit di Lapangan Terbang Changi Singapura.