
Keluarga-keluarga itu tampil menyokong 69 tahanan – 34 di penjara Sungai Buloh dan 35 di penjara Alor Setar – yang memulakan mogok lapar pada Ahad, menggesa penahanan mereka ditamatkan. Sebahagian daripada tahanan terbabit telah ditahan sehingga tiga tahun tanpa bicara.
Pemprotes menuntut kerajaan membebaskan tahanan terbabit. Menurut mereka, segelintir daripada tahanan tersebut pencari nafkah tunggal bagi keluarga, dan sukar untuk mereka meneruskan hidup tanpa pendapatan.
Megha Vinothini, 38, isteri salah seorang tahanan berkata, mereka sudah lama menunggu tanpa mendapat sebarang keadilan.
“Saya agak bertuah kerana dua anak saya yang paling tua mampu melakukan kerja rencam,” katanya kepada pemberita hari ini.
“Bagaimanapun, anak bongsu saya yang berusia 16 tahun dibuli di sekolah. Dia digelar ‘anak pengganas’, malah kini langsung enggan ke sekolah,” kata Megha, yang melancarkan mogok lapar sejak semalam.
Beliau turut menggesa ahli politik berhenti berkempen, sebaliknya memberi perhatian kepada nasib mereka.
“Kami pengundi, jadi mereka perlu datang ke sini dan bantu kami. Kami sedang bergelut di sini dan sangat perlukan seseorang untuk membantu,” katanya.
Durai Nadarajan, 37, adik kepada seorang tahanan Sosma berkata, tahanan juga telah mogok lapar sejak tiga hari lepas.
“Abang saya telah ditahan selama lebih tiga tahun, tetapi masih belum ada bukti dia bersalah,” katanya.
Menurut Durai, abangnya pencari nafkah dalam keluarganya.
“Sukar bagi mereka untuk meneruskan hidup. Ramai lagi penjenayah lebih teruk, tetapi hanya golongan B40 yang ditahan bawah Sosma,” katanya.
Antara tuntutan keluarga-keluarga ini termasuk ahli keluarga mereka dibebaskan serta-merta, atau dihadapkan ke mahkamah dengan segera agar tidak meringkuk di dalam penjara tanpa dibicarakan. Ada juga keluarga yang menggesa agar Sosma dimansuhkan.
Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Ramkarpal Singh berkata, kerajaan maklum tentang mogok lapar itu dan meminta keluarga terbabit menamatkan protes sementara proses reformasi undang-undang sedang dijalankan, demi anak-anak mereka yang turut hadir.
“Usaha untuk mengkaji penambahbaikan Sosma mengikut iklim semasa sememangnya berterusan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sosma diperkenalkan pada 2012 bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri yang berkontroversi. Kedua-dua akta ini membenarkan tempoh penahanan yang berpanjangan tanpa bicara.
Sosma telah digunakan untuk menahan pelbagai individu, termasuk ahli Jemaah Islamiyah dan aktivis hak sivil seperti Maria Chin Abdullah. Penahanan Maria mengundang kecaman meluas daripada kumpulan hak asasi manusia, malah Jabatan Negara Amerika Syarikat.