18 Ogos keputusan rayuan petisyen cabar kemenangan PKR di Segamat

18 Ogos keputusan rayuan petisyen cabar kemenangan PKR di Segamat

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan hari ini mendengar rayuan calon BN, M Ramasamy terhadap keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang menolak petisyennya.

Dalam petisyen pilihan rayanya, M Ramasamy antara lain memohon pengisytiharan bahawa pilihan raya bagi kawasan Parlimen Segamat pada PRU15 adalah terbatal. (Gambar Facebook)
PUTRAJAYA:
Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan akan menyampaikan keputusan pada 18 Ogos berhubung rayuan calon Barisan Nasional (BN) M Ramasamy mencabar keputusan PRU15 bagi kerusi Parlimen Segamat.

Hakim Zabariah Mohd Yusof yang mengetuai panel berkata, mahkamah tidak dapat memutuskan rayuan itu hari ini dan menetapkan pada 3 petang, 18 Ogos untuk menyampaikan keputusan.

Panel itu yang turut dianggotai dua lagi hakim iaitu Hasnah Mohammed Hashim dan Mary Lim Thiam Suan mendengar rayuan yang dikemukakan Ramasamy terhadap keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang menolak petisyennya.

Hakim mendengar hujah daripada peguam Ramasamy, Shafee Abdullah; peguam Lau Yi Leong mewakili Ahli Parlimen Segamat R Yuneswaran; dan Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan yang mewakili pegawai pengurus pilihan raya dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Shafee berhujah bahawa petisyen Ramasamy yang difailkan untuk mencabar kemenangan Yuneswaran perlu dikembalikan ke Mahkamah Pilihan Raya untuk perbicaraan penuh bagi membolehkan saksi memberi keterangan berhubung dakwaan niat rasuah oleh Yuneswaran, calon Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata, dakwaan bahawa makanan yang diberikan di sebuah tokong Cina dengan niat rasuah untuk mempengaruhi pengundi menimbulkan kes prima facie bagi kesalahan bawah Seksyen 8 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Shafee berhujah, petisyen itu tidak cacat dan tidak sepatutnya dibatalkan atas bantahan awal. Beliau juga menegaskan Ramasamy mematuhi kehendak Peraturan 4(1)(b) dan (4) Kaedah-Kaedah Petisyen Pilihan Raya 1954 dengan memasukkan fakta material yang mencukupi untuk menyokong kesnya.

Katanya, terdapat juga ketidakpatuhan kepada keperluan Akta Kesalahan Pilihan Raya apabila Borang A pada sumpah kerahsiaan tidak ditandatangani oleh wakil Yuneswaran di hadapan pegawai pengurus pilihan raya dan Borang A itu telah ditandatangani terlebih dahulu oleh pegawai pengurus pilihan raya.

Pada 3 April lepas, Hakim Mahkamah Pilihan Raya Mohd Radzi Abdul Hamid menolak petisyen pilihan raya Ramasamy selepas menerima bantahan awal yang dikemukakan responden (Yuneswaran, pegawai pengurus pilihan raya dan SPR) bahawa petisyen Ramasam cacat kerana gagal mematuhi kehendak Akta Kesalahan Pilihan Raya dan Peraturan Petisyen Pilihan Raya.

Pada PRU15 tahun lepas, Yuneswaran memenangi kerusi itu dengan majoriti 5,669 undi dan diisytiharkan sebagai Ahli Parlimen Segamat, mengalahkan Ramasamy; P Poobalan (Perikatan Nasional); dan Syed Hairoul Faizey (Pejuang).

Dalam petisyennya, Ramasamy antara lain memohon pengisytiharan bahawa pilihan raya bagi kawasan Parlimen Segamat adalah terbatal dan pengisytiharan bahawa Yuneswaran tidak dipilih sebagai Ahli Parlimen.

Beliau menamakan Yuneswaran, pegawai pengurus pilihan raya dan SPR sebagai responden.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.