Polis gempur makmal dadah, rampas ketamin lebih RM2 juta

Polis gempur makmal dadah, rampas ketamin lebih RM2 juta

Polis berkata sindiket itu disyaki menjadikan kilang sewa di Iskandar Puteri sebagai tempat proses dadah sejak April lalu.

Ketua Polis Johor Kamarul Zaman Mamat menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media. (Gambar Bernama)
ISKANDAR PUTERI:
Polis Johor menggempur makmal dadah di sebuah premis kilang di sini dan merampas sejumlah dadah jenis ketamin bernilai lebih RM2 juta, Selasa lalu.

Ketua Polis Johor, Kamarul Zaman Mamat, berkata pihaknya turut menahan empat lelaki termasuk seorang warga asing dalam operasi khas bermula 7.30 malam hingga 12 tengah malam Rabu, yang melibatkan dua serbuan.

Beliau berkata, sindiket berkenaan dipercayai menjadikan kilang disewa itu sebagai tempat memproses dadah dan aktif sejak April lalu.

“Kita turut merampas 4.63kg ketamin dan 166 liter cecair ketamin yang keseluruhannya bernilai lebih RM2.133 juta dalam serbuan itu,” katanya pada sidang media di IPD Iskandar Puteri.

Selain perkakas dan mesin memproses dadah, Kamarul Zaman berkata polis turut merampas dua kereta, sebuah lori, dua jam tangan dan wang tunai dalam serbuan itu, dan jumlah semuanya dianggarkan RM321,700.

Beliau berkata, dua daripada yang ditahan didapati positif dadah jenis ketamin, manakala dua lagi didapati mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah, dan polis akan memohon supaya reman semua mereka yang tamat tempoh hari ini, disambung.

Sementara itu, Kamarul Zaman berkata, polis sedang mencari tiga lagi lelaki dipercayai dapat membantu siasatan dalam kes itu, yang terdiri daripada T Prakash, 33, dengan alamat terakhir di Taman Mount Austin, Johor Bahru; Mohamad Basir Nahupicher, 32, alamat terakhir Taman Plentong Baru, Masai; dan S Steven, 48, alamat terakhir di Jalan Rimba 47, Bandar Seri Alam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.