Pelajar UUM dibenar tangguh peperiksaan balik undi

Pelajar UUM dibenar tangguh peperiksaan balik undi

Menteri Pendidikan Tinggi Khaled Nordin berkata bukan semua pelajar UUM terlibat PRN enam negeri.

Menteri Pendidikan Tinggi Khaled Nordin berkata hanya UUM mengadakan peperiksaan pada hari pengundian. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sudah berunding dengan Universiti Utara Malaysia (UUM) bagi membenarkan pelajarnya yang mahu mengundi pada PRN enam negeri menangguhkan peperiksaan.

Menterinya, Khaled Nordin berkata, hanya UUM yang mengadakan peperiksaan pada hari pengundian.

Katanya, bukan semua pelajar terbabit kerana PRN hanya melibatkan negeri tertentu, manakala selebihnya boleh meneruskan peperiksaan seperti dijadualkan.

“Pelajar yang terlibat boleh menduduki peperiksaan pada hari lain kerana bagi pelajar dari Sabah dan Sarawak, mereka sudah membeli tiket awal untuk pulang ke kampung mengikut kalender universiti yang dikeluarkan sebelum ini,” katanya menurut Berita Harian.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani memorandum persefahaman antara KPT, XoX Bhd dan VMR3 Sdn Bhd di Putrajaya.

Sebelum ini, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UUM, Muhammad Izuan Faiz Abdul Rahman dilaporkan berkata, tarikh pengundian PRN di enam negeri termasuk Kedah pada 12 Ogos mengganggu musim peperiksaan mereka.

Pelajar UUM menduduki peperiksaan bermula hari ini dan dijadual berakhir 20 Ogos.

Mengulas lanjut, Khaled berkata, tiada masalah bagi pelajar baharu mendaftarkan diri kerana kebanyakan mereka belum berusia 18 tahun sekali gus tidak layak mengundi.

“Tiada cuti tambahan juga diberikan kepada pelajar yang pulang mengundi kerana majoriti sudah pulang ke kampung masing-masing pada tarikh tersebut,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.