Saya dipilih kerana kredibiliti, bukan nepotisme, kata anak Johari

Saya dipilih kerana kredibiliti, bukan nepotisme, kata anak Johari

Firdaus Johari dicalon di Gurun merupakan anak kepada Johari Abdul yang kini Speaker Dewan Rakyat.

Firdaus Johari akan mempertahankan kerusi yang dimenangi ayahnya, Johari Abdul, pada PRU14. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Calon Pakatan Harapan (PH) Gurun Firdaus Johari menyangkal pemilihannya bertanding di kerusi itu sebagai amalan nepotisme.

Beliau adalah anak kepada bekas Adun Gurun Johari Abdul, yang kini Speaker Dewan Rakyat.

Firdaus berkata, pemilihannya dibuat berdasarkan kredibiliti selari dengan kehendak pucuk pimpinan tertinggi PH.

“…dan saya dipilih berdasarkan kepercayaan presiden (Anwar Ibrahim) dan (kepercayaan) itu saya perlu sampaikan di peringkat bawah,” katanya yang juga abang kepada Ahli Parlimen Sungai Petani Mohammed Taufiq.

Firdaus berhadapan pertarungan satu lawan satu dengan bekas pemain bola sepak Kedah, Baddrol Bakhtiar di kerusi DUN Gurun.

Dalam pada itu, beliau berazam meneruskan formula “politik khidmat bakti” bagi membantu rakyat.

Beliau yang juga ketua PH Jerai berkata, aktiviti turun padang secara berkala banyak membantunya, dalam memahami masalah dihadapi penduduk Gurun secara mendalam, sekali gus memberi ilham untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada mereka.

“Saya sudah mula membantu (secara) di balik tabir (bidang politik) semenjak (bapa) Tan Sri Johari Abdul diberi mandat (sebagai Adun) Gurun dan Ahli Parlimen Sungai Petani pada 2018.

“Kerja itu menjadi kerja hakiki pada musim kempen, apabila kita pergiatkan program dan menambah baik program sedia ada dan kita kurangkan berpolitik sepanjang lima tahun itu, sebaliknya memfokuskan kepada politik khidmat masyarakat,” katanya kepada Bernama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.