Armizan ambil alih sementara tugas Salahuddin, kata PM

Armizan ambil alih sementara tugas Salahuddin, kata PM

Beliau ambil alih tugas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup susulan pemergian Salahuddin Ayub.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Armizan Ali diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab sementara Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
KUALA LUMPUR:
Armizan Ali akan mengambil alih tugas menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup sementara waktu, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal ehwal Sabah, Sarawak dan tugas-tugas khas) menggalas tanggungjawab tersebut susulan pemergian Salahuddin Ayub, pada 23 Julai.

“Sementara ini Armizan diberi tanggungjawab memantau dan jalankan tugas, dan Fuziah Salleh (timbalan menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup) pun dah faham.

“Jadi, boleh saya bincangkan nampak tiada gangguan dan saya minta Armizan tumpu sikit dalam kementerian (KPDN),” katanya pada sidang media Majlis Perasmian Hari Pengguna Kebangsaan (HPK) 2023.

Bagaimanapun, beliau berkata, secara rasminya masih belum ada pengganti bagi jawatan tersebut dan segala perbincangan berhubung perkara itu akan dibuat selepas selesai PRN.

“Belum, saya kata biar lepas PRN, kemudian bagi masa saya fikir, ia tidak akan terlalu lama,” tambahnya.

Salahuddin Ayub menghembuskan nafas terakhirnya pada 9.23 malam 23 Julai, di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar.

Sebelum itu, Salahuddin yang juga timbalan presiden Amanah dikejarkan ke wad kecemasan HSB pada 10.15 malam Jumaat lalu, selepas mengalami mual serta muntah-muntah sebelum disahkan mengalami pendarahan otak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.