Jangan mencatut kelengkapan sekolah, KPDN beri amaran

Jangan mencatut kelengkapan sekolah, KPDN beri amaran

Timbalan Menteri Fuziah Salleh berkata tindakan akan dikenakan kepada peniaga yang naik harga barang persekolahan secara tidak munasabah.

Timbalan Menteri KPDN Fuziah Salleh, berkata walaupun barang persekolahan ditentukan pasaran terbuka, namun bukan bermakna peniaga boleh mencatut harga. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi amaran kepada peniaga tidak menaikan harga barang persekolahan secara tidak munasabah.

Timbalan Menteri Fuziah Salleh, berkata tiada kawalan harga ke atas barangan berkenaan dengan harga ditentukan di pasaran terbuka.

“Tiada kawalan harga bagi barang persekolahan dan ia berada di pasaran terbuka agar berlaku persaingan sihat. Pada masa sama, kami sentiasa pastikan tidak berlaku pencatutan harga dan jika ada kami akan ambil tindakan,” katanya menurut Bernama.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program Jualan Rahmah Madani: Kembali ke Sekolah, di Kuantan.

Dalam pada itu, Fuziah berkata penjualan Gula Rahmah yang tidak menerima sebarang insentif kerajaan setakat ini hanya dibenarkan melalui Program Jualan Rahmah Madani yang dilaksanakan secara bergerak dan di luar premis.

“Setakat ini, itu adalah modus operandi penjualan Gula Rahmah yang dibenarkan oleh KPDN, tetapi ia mungkin berubah dengan terserah kepada polisi baharu KPDN pada masa hadapan,” katanya.

Gula Rahmah ditawarkan pada RM2.70 sekilogram adalah inisiatif HMBE Legacy Sdn Bhd dengan kerjasama KPDN.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.