Tanding bebas, bekas Adun Ampangan dipecat PKR

Tanding bebas, bekas Adun Ampangan dipecat PKR

Naib Presiden PKR Aminuddin Harun berkata keahlian Mohamad Rafie Ab Malek gugur automatik.

Bekas Adun Ampangan Mohamad Rafie Ab Malek bertanding atas tiket bebas selepas namanya digugurkan sebagai calon PKR. (Gambar Bernama)
SEREMBAN:
Keahlian Mohamad Rafie Ab Malek dalam PKR gugur secara automatik berikutan tindakannya menjadi calon DUN Ampangan atas tiket bebas bagi PRN Negeri Sembilan kali ini.

Naib Presiden PKR, Aminuddin Harun, berkata pihaknya tidak menerima makluman daripada bekas Adun Ampangan itu berhubung hasratnya untuk bertanding atas tiket bebas.

“Ikutkan itu hak dia untuk bertanding, tetapi dia akan digugurkan sebagai ahli parti, kita hanya dengar berita desas-desus dia nak bertanding itu semalam. Ahli lain yang terlibat juga akan diambil tindakan,” katanya kepada pemberita di pusat penamaan calon Dewan Komuniti Coral Heights.

Terdahulu, Rafie dilaporkan membuat kejutan apabila tampil sebagai calon bebas semasa penamaan calon di Kompleks Belia dan Sukan Paroi pagi tadi.

DUN Ampangan menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Rafie, Tengku Zamrah Tengku Sulaiman mewakili Pakatan Harapan (PH) dan Muhammad Ghazali Zainal Abidin bagi Perikatan Nasional.

Pada PRU14, Rafie yang mewakili PH, menang di kerusi itu dengan majoriti 1,360 undi.

Dalam pada itu, pengerusi PH Negeri Sembilan itu berkata tindakan Rafie tidak menjejaskan gerak kerja parti untuk mempertahankan kerusi DUN Ampangan bagi pilihan raya kali ini.

“Saya masih optimis dengan peluang di DUN Ampangan, masih ada kekuatan, saya yakin jentera yang ada akan membantu calon kita (Tengku Zamrah) bagi kemenangan di kerusi itu. Kita serah kepada rakyat untuk menentukan kerusi di DUN Ampangan, siapa yang layak untuk dipilih.

“Dia (Rafie) telah selesai penggal dia, saya mengucapkan terima kasih, dia berhak memilih apa jua parti selepas ini, dalam PKR dia dipecat,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRN di Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan diadakan serentak pada 12 Ogos dan pengundian awal 8 Ogos ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.