
KPT yang menafikan kenyataan dikeluarkan Haim menerusi media sosial berkenaan pemendekan tempoh pelantikannya berkata, laporan prestasi itu dikemukakan melalui surat bertarikh 16 Jun 2022.
Haim dilantik sebagai naib canselor UUM kesembilan pada 17 Jan 2022, dan dilaporkan perkhidmatannya dipendekkan berkuat kuasa 18 Jan 2023.
“Sebelum keputusan pemendekan diambil, satu jawatankuasa telah ditubuhkan di peringkat KPT bagi meneliti dan menilai laporan yang diterima,” menurut KPT dalam kenyataan.
KPT memberitahu Haim dan beberapa pegawai kanan UUM dipanggil ke kementerian itu pada 23 dan 29 Sept 2022 untuk memberi keterangan menjelaskan perkara yang dibangkitkan bagi mencari kaedah penyelesaian terbaik demi kepentingan UUM.
Menerusi aplikasi TikTok yang tular, Haim mendakwa beliau dipendekkan perkhidmatan tanpa sebab dan tidak diberi peluang untuk membela diri.
Haim, 50, yang merupakan calon Perikatan Nasional bagi kerusi DUN Jitra, Kedah, membuat kenyataan itu pada program sembang santai calon di kawasan DUN ditandinginya.
Pada 6 Feb lalu, Menteri Pendidikan Tinggi Khaled Nordin dilaporkan berkata beliau tidak terlibat dalam pelaksanaan tindakan yang dikenakan ke atas Haim, sebaliknya dibuat berdasarkan aduan diterima daripada pensyarah dan Lembaga Pengarah universiti berkenaan tahun lalu.