
Berdasarkan kedudukan di Dewan Undangan Negeri ke-14 semata-mata, BN-PH yang menduduki 12 DUN sekadar perlu tujuh kawasan lagi untuk meraih majoriti mudah. Boleh dikatakan semua kawasan BN-PH terletak di persisiran Kedah atau pinggirannya, diselang-seli kawasan PAS seperti Anak Bukit, Bukit Pinang, Bukit Lada, Tokai, Sungai Limau, Tanjong Dawai, Pantai Merdeka, Kuala Ketil, dan Merbau Pulas. Semua kawasan di timur Sungai Tiang di tangan PN.
Namun PRU15 menyaksikan PN menawan semua Parlimen di mana terletak kawasan-kawasan BN-PH ini, kecuali Sungai Petani; maka timbul keraguan sama ada besar atau kecil majoriti undi di kawasan berkenaan memberi apa-apa makna di hadapan apa yang diuar-uarkan sebagai Gelombang Hijau.
Awang Azman Awang Pawi, seorang penganalisis politik di Universiti Malaya, percaya cabaran lebih besar yang dihadapi BN-PH ialah sentimen kenegerian yang diolah oleh pemimpin-pemimpin PN menerusi isu-isu seperti projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KTX) dan pertikaian-pertikaian Kedah-Pulau Pinang.
Malah, beliau tidak menolak pendakwaan terhadap Menteri Besar Sanusi Nor akan menarik simpati rakyat Kedah.
“Sentimen kenegerian ini bukan sesuatu baharu tetapi pernah dilakukan oleh Adenan Satem di Sarawak untuk menyatupadukan rakyat negeri itu, menggunakan sentimen kenegerian untuk meraih undi,” katanya kepada FMT.
“Politik kenegerian bukan ukuran yang terlalu dominan tetapi salah satu faktor untuk kemenangan PN.”
Olahan sentimen ini di sebalik hakikat bahawa pentadbiran PN di Kedah tidak terpilih untuk menjadi pemerintah menerusi pilihan raya. Ia hasil percatuan sokongan wakil-wakil rakyat yang membentuk PN, susulan peletakan jawatan Mukhriz Mahathir.
Usaha itu nampaknya berjaya jika dilihat pada kehadiran di pentas-pentas ceramah PN yang menampilkan Sanusi, meskipun umum maklum isu-isu seperti dakwaan sekitar perlombongan unsur nadir bumi (REE).
Sanusi, di mata rakyat Kedah, seakan “hero” yang lantang membidas Putrajaya, kata Kartini Aboo dari Universiti Kebangsaan Malaysia.
Keputusan PRU15 menjelaskan sokongan kepada PN, termasuk dalam kalangan pengundi bukan Melayu yang sebelum ini dikatakan condong ke arah PH.
“Di Kedah memang jelas sokongan majoriti Melayu dan bukan Melayu buat PN,” katanya, mengaitkan ia dengan ‘asimilasi’ yang lebih meluas di situ.
Beliau juga tidak melihat Pejuang, pimpinan bekas menteri besar Mukhriz Mahathir akan menjadi faktor. “Pejuang sebagai parti kecil dengan prestasi dalam PRU15 yang tidak menjadi, lebih menguntungkan untuk bersama-sama PN.”
Seramai 1,585,085 pengundi Kedah layak mengundi pada PRN akan datang, yang mana 44.51% atau 705,712 orang dalam lingkungan usia 21-39 tahun.