
Menurut Sinar Harian, Yap Kian Seng, 62, Yap Yin Keat, 51, dan Sun Haixia, 40, merupakan pengarah serta pengurus Enhengda Sdn Bhd didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah premis di Hala Perusahaan Kledang Utara 4, Kawasan Perindustrian Menglembu, Ipoh pada 11.10 pagi 17 Mei 2019.
Mengikut pertuduhan, mereka didapati ada dalam milikan untuk membekalkan 4,342 selipar dan kasut dagangan palsu berjenama Adidas serta Nike.
Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 8(2)(c) Akta Perihal Dagangan 2011 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 8(2)(A) akta sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM15,000 bagi setiap barang diletakkan perihal dagangan palsu.
Mahkamah memutuskan semua tertuduh dan syarikat itu bersalah atas dua pertuduhan.
Selepas mendengar hujah pihak pendakwaan dan pembelaan, Hakim Norashima Khalid menjatuhkan hukuman denda RM130,260 kepada setiap tertuduh dan penjara enam bulan, jika gagal membayar denda, manakala syarikat itu didenda RM217,100.
Pihak pembelaan meminta hukuman ditangguhkan sementara menunggu tertuduh merayu di Mahkamah Tinggi.
Mahkamah membenarkan penangguhan hukuman itu dan membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM15,000.