UiTM Kuala Pilah terima peranti Starlink pertama

UiTM Kuala Pilah terima peranti Starlink pertama

Peranti diserahkan oleh PM Anwar Ibrahim, menjadikan UiTM IPT pertama di negara ini yang mengguna pakai teknologi Starlink.

Anwar Ibrahim menyerahkan peranti Starlink kepada Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM Dr Mohd Sazili Shahibi di Dataran Seri Jempol, Negeri Sembilan hari ini. Turut hadir Menteri Komunikasi Dan Digital Fahmi Fadzil. (Gambar Bernama)
JEMPOL:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini menyerahkan unit peranti satelit Starlink pertama kepada Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Peranti itu akan digunakan di kampus Kuala Pilah, Negeri Sembilan, menjadikannya institusi pendidikan tinggi (IPT) pertama di negara ini yang akan mengguna pakai teknologi berkenaan.

Peranti tersebut diserahkan perdana menteri kepada Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM Dr Mohd Sazili Shahibi di reruai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sempena Karnival Segalanya Felda Peringkat Felda Wilayah Raja Alias di Dataran Seri Jempol di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dan Pengerusi SKMM Mohamad Salim Fateh Din.

Media sebelum ini melaporkan kerajaan bercadang memasang 40 peranti satelit Starlink di IPT bagi membantu menaik taraf capaian Internet lebih baik di kampus.

Cadangan itu tercetus hasil persidangan video perdana menteri secara maya bersama Ketua Pegawai Eksekutif SpaceX Elon Musk pada 14 Julai.

Anwar yang juga menteri kewangan dilaporkan berkata, IPT diberi keutamaan oleh kerajaan selepas menerima aduan daripada pelajar hasil lawatan beliau ke beberapa buah universiti di seluruh negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.