‘Saya kena beri keterangan tiap-tiap hari’, dakwa Sanusi

‘Saya kena beri keterangan tiap-tiap hari’, dakwa Sanusi

Sanusi Nor sebelum ini menegaskan rancangan pihak tertentu yang mahu beliau ditangkap tidak membabitkan pihak berkuasa.

Sanusi Nor ketika berucap pada majlis pengumuman calon Perikatan Nasional PRN Kedah di Alor Setar, malam tadi. (Gambar Bernama)
SUNGAI PETANI:
Pemimpin PAS Sanusi Nor mendakwa beliau kena beri keterangan kepada polis “tiap-tiap hari”, dengan yang terbaru semalam berkenaan dua kes.

“Saya tuan-tuan kena bagi keterangan kat polis tiap-tiap hari. Hari ini dua kes, sampai Maghrib,” katanya ketika berucap pada majlis pengumuman calon Perikatan Nasional PRN Kedah di Alor Setar, malam tadi.

Bagaimanapun tiada huraian lanjut daripada Sanusi, yang juga menteri besar Kedah berkenaan dua kes itu.

Beliau seterusnya mendakwa wujud satu pasukan yang meneliti ucapannya. “Tiap-tiap perkataan saya diteliti. Silap… ‘report’. Silap… ‘report’. Silap… ‘report’.”

“Datangkan hujah, datangkan ceramah apa, jawab! Tapi tak, guna agensi, salin tiap-tiap perkataan, pi ‘report’ polis,” katanya.

Sebelum ini, polis menafikan terdapat rancangan lebih awal untuk menangkap Sanusi, bagi menjawab laporan yang memetik pemimpin PAS itu mendakwa ada rancangan untuk menangkapnya dan ia dirancang sejak enam bulan lalu.

Dakwaan itu susulan penahanan Sanusi pada awal pagi 18 Julai lalu. Sanusi dihadapkan ke mahkamah bagi dua pertuduhan membuat kenyataan hasutan terhadap raja, yang dibuat bawah Akta Hasutan.

Pemimpin PAS itu didakwa melakukan kesalahan tersebut dalam satu ceramah di Gombak pada 11 Julai. Beliau mengaku tidak bersalah.

Sanusi kemudian menegaskan rancangan untuk menangkap itu tidak membabitkan pihak berkuasa.

Terdahulu dalam ucapannya, Sanusi ketika menyentuh kes berkait perlombongan unsur nadir bumi dan projek litar lumba di Sungai Petani mendakwa pihak tertentu berniat untuk memastikan beliau “pakai gari dan pakai baju oren”.

“Tuan-tuan sekalian saya sumpah akan ada kebangkitan lebih besar daripada ini pada seluruh negara, kerana saya akan bongkarkan semua ‘kerja jahat’ ini jika mereka berani pakaikan saya baju oren,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.