DAP P Pinang pilih calon selamat pikat undi Melayu, kata penganalisis

DAP P Pinang pilih calon selamat pikat undi Melayu, kata penganalisis

Fauzi Hamid berkata parti itu membuat pilihan betul dengan menggugurkan tokoh kontroversi dan memecahbelahkan.

Penganalisis Fauzi Ahmad berkata Loke Siew Fook cuba meningkatkan undi bagi kerajaan perpaduan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
DAP memilih calon selamat dan tidak kontroversi bagi PRN Pulau Pinang untuk memikat pengundi Melayu, kata penganalisis.

Fauzi Hamid dari Universiti Sains Malaysia berkata, personaliti seperti P Ramasamy mungkin menyebabkan Pakatan Harapan kehilangan undi Melayu susulan persepsi daripada kenyataannya yang kadangkala kontroversi.

“Ramasamy dilihat tokoh memecahbelahkan. Jika beliau dan lain-lain (calon kontroversi) berada dalam senarai, ia akan menjadi penghalang untuk orang Melayu mengundi PH dan Barisan Nasional.

“Dengan mengelak tokoh kontroversi, Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook cuba memaksimumkan undi bagi kerajaan perpaduan,” katanya kepada FMT.

Beliau menyifatkan barisan lama dan baharu, termasuk Ketua Menteri Chow Kon Yeow serta Lim Guan Eng, baik kerana terdapat golongan berusia dalam parti membimbing yang lain.

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, DAP kekal terkenal di Pulau Pinang dan mungkin dapat mempertahankan semua 19 kerusinya dalam PRN.

Beliau berkata, ia kebiasaan bagi DAP menggantikan orang lama, khasnya jika mereka bukan pemimpin kanan parti.

“DAP parti pragmatik. Ia meletakkan calon yang difikirkannya layak, tanpa mengira ciri-ciri diwarisi mereka.

“Mereka nampaknya bekerjasama baik dengan PKR dan Umno. MCA memboikot, bahkan terus menyerang mereka, tetapi kesannya sangat kecil.

“Menarik untuk lihat dinamik Chow dan Lim selepas PRN, dengan Lim nampaknya bimbang kerana tiada jawatan kerajaan, sama ada di peringkat persekutuan atau negeri.”

James Chin dari Universiti Tasmania berkata, DAP menyingkirkan orang lama dengan baik untuk memberi laluan kepada calon muda, yang membentuk hampir separuh daripada senarainya.

Tetapi katanya, calon masih boleh ditukar pada hari penamaan, langkah biasa bagi parti politik Malaysia.

Beliau berkata, dalam barisan kepimpinan, Chow tidak melakukan kesilapan besar sejak lima tahun lalu dan mendapat sokongan komuniti perniagaan.

“Tiada parti politik mampu menyinggung perasaan komuniti ‘tauke’.”

Selasa lalu, DAP menamakan tujuh calon baharu bagi PRN Pulau Pinang, menggantikan lima exco dan dua penyokong kerajaan.

Kebanyakannya menerima berita itu dengan baik, tetapi ada yang kecewa dengan keputusan tersebut. Seorang individu yang tidak senang dengan keputusan itu berkata, DAP mengikut kehendak seseorang, bukannya jawatankuasa negeri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.