The 1975: Setpol Fahmi Fadzil buat laporan polis terhadap Wan Azri

The 1975: Setpol Fahmi Fadzil buat laporan polis terhadap Wan Azri

Ia susulan video di Facebook yang didakwa memfitnah dan memburukkan kerajaan berkait kejadian membabitkan kumpulan muzik UK, The 1975.

Wan Muhammad Azri Wan Deris didakwa memfitnah dan memburukkan kerajaan berkait kejadian membabitkan kumpulan muzik UK, The 1975. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Setiausaha politik kepada Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil mengesahkan pihaknya membuat laporan polis terhadap seorang pengguna media sosial, Wan Muhammad Azri Wan Deris berkaitan Festival Good Vibes.

Laporan itu dibuat Abdullah Izhar Mohamed Yusof di Balai Polis Pantai pagi tadi, susulan satu video oleh Wan Azri di Facebook yang didakwa memfitnah dan memburukkan kerajaan berkait kejadian membabitkan kumpulan muzik UK, The 1975.

Video itu memaparkan perbualan Wan Azri dengan seorang lelaki yang mendakwa dirinya bekas kru penganjur konsert terbabit, lapor Bernama.

Izhar berkata pihaknya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan oleh individu terbabit, dan memohon polis menyiasat semua platform media sosial milik Azri “untuk memastikan tiada sebarang fitnah dan berita palsu disebarkan kepada rakyat”.

“Perbuatan tersebut hanya akan menggugat keamanan serta keharmonian kaum dan agama,” katanya.

Terdahulu, Kementerian Komunikasi dan Digital mengarahkan festival itu dibatalkan susulan perlakuan “biadab” anggota The 1975 dalam konsert itu.

Izhar berkata insiden The 1975 dimanipulasi oleh segelintir pihak yang bermotif politik walaupun kerajaan serta-merta membatalkan festival berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.