
Serbuan jam 1.10 pagi oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman itu turut menahan sembilan warga tempatan membabitkan pengurus premis, penjaga kaunter dan pekerja pusat hiburan terbabit.
Ketua Polis Negara, Razarudin Husain, berkata polis turut melakukan pemeriksaan ke atas 22 GRO warga tempatan, 46 pekerja dan 336 pelanggan di premis berkenaan.
“Hasil saringan ujian air kencing mendapati enam pelanggan positif dadah methamphetamine dan ketamin.
“Turut dirampas, resit jualan, resit pekerja GRO, minuman keras, satu unit telefon bimbit, dua unit perakam video, satu unit modem, satu unit pembesar suara serta wang tunai RM13,862, yang mana semua rampasan ini dibawa ke IPD Dang Wangi untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.
Razarudin berkata premis berkonsepkan pusat hiburan KTV itu menyediakan 17 bilik karaoke mengikut pakej bayaran bermula RM3,800 hingga RM25,000 beserta GRO warga asing atau tempatan, bergantung permintaan.
“Premis ini beroperasi bermula 8 malam hingga 6 pagi setiap hari dan tidak mempunyai lesen pusat hiburan sah serta menyalahgunakan lesen restoran, kedai makan dikeluarkan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),” katanya.