Kenaikan gaji TVET tak dirancang baik mungkin bawa kesan, ahli ekonomi beri amaran

Kenaikan gaji TVET tak dirancang baik mungkin bawa kesan, ahli ekonomi beri amaran

Geoffrey Williams berkata, majikan mungkin mengambil bukan graduan, jika gaji minimum dilaksanakan bagi graduan TVET.

Geoffrey Williams memberi amaran syarikat swasta mungkin membantah cubaan menaikkan gaji graduan TVET. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang pakar ekonomi memberi amaran penetapan gaji minimum bagi graduan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) tanpa perancangan rapi mungkin menyebabkan ramai menganggur.

Profesor ekonomi di Universiti Sains dan Teknologi Malaysia, Geoffrey Williams berkata, penjelasan lebih terperinci berhubung rancangan itu perlu bagi mengelakkan kuasa pasaran campur tangan untuk mengambil peluang pekerjaan daripada graduan TVET.

Beliau memberi amaran tanpa menyediakan rancangan, majikan mungkin bertindak balas dengan mengambil individu bukan graduan.

“Tidak jelas bagaimana kerajaan akan menetapkan gaji minimum RM2,500 kerana gaji dibayar syarikat swasta.

Geoffrey Williams.

“Jika syarikat perlu membayar gaji lebih tinggi kepada graduan TVET, mereka mungkin hanya memilih bukan graduan, yang akan menyebabkan tujuan itu gagal,” katanya kepada FMT.

Minggu lalu, New Straits Times (NST) melaporkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengumumkan rancangan kerajaan menaikkan gaji graduan TVET antara RM2,500 dan RM3,000.

Anwar berkata, gaji permulaan semasa antara RM1,800 dan RM2,000 yang dibayar kepada graduan TVET tidak mencukupi bagi kemahiran mereka.

Sementara itu, Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) menyokong cadangan kerajaan dengan berkata, struktur gaji perlu disediakan bagi memberi ganjaran kepada graduan TVET mengikut kecekapan teknikal mereka.

“Bagi setiap tahap kecekapan diperolehi, graduan boleh mendapat gaji lebih tinggi,” kata Presiden MEF, Syed Hussain Syed Husman kepada FMT.

Menurutnya, pelaksanaan satu skala akan mendorong graduan TVET terus meningkatkan kemahiran diri.

Pelajar TVET menjalani sehingga lima peringkat latihan kemahiran selepas menamatkan SPM, menurut maklumat di laman sesawang Kementerian Pendidikan.

Mereka mendapat sijil teknikal (dikenali Sijil Kemahiran Malaysia) selepas menamatkan tahap tiga dan diploma (Diploma Kemahiran Malaysia atau Diploma Vokasional Malaysia) selepas tahap lima.

MEF berkata, tinjauan gaji dibayar kepada pekerja eksekutif dan bukan eksekutif tahun lalu mendedahkan pemegang diploma dibayar sekurang-kurangnya RM1,936, manakala pemegang ijazah memperoleh kira-kira RM2,805.

Berdasarkan penemuan itu, Syed Hussain menyifatkan cadangan julat gaji oleh kerajaan adalah wajar dan akan menggalakkan pendaftaran lebih tinggi bagi kursus itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.