Insentif Penjana: Pemilik syarikat kemuka dokumen palsu didenda RM80,000

Insentif Penjana: Pemilik syarikat kemuka dokumen palsu didenda RM80,000

Hakim menjatuhkan hukuman ketika pengurusan kes selepas tertuduh Raymond Sim menukar pengakuan kepada bersalah.

Raymond Sim didakwa memperolehi bayaran di bawah peruntukan Penjana yang masing-masing berjumlah RM46,000 dan RM17,500. (Gambar Reuters)
KUALA LUMPUR:
Seorang pemilik syarikat elektrik dan elektronik didenda RM80,000 selepas mengaku bersalah bagi pertuduhan mengemukakan dokumen palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi menuntut insentif Pelan Jana Semula Ekonomi (Penjana).

Hakim Mahkamah Sesyen Suzana Hussin menjatuhkan hukuman itu ketika pengurusan kes hari ini, selepas tertuduh, Raymond Sim, 35, menukar pengakuan kepada bersalah bagi dua pertuduhan pilihan.

Sim dituduh secara tidak jujur menggunakan sebagai tulen satu dokumen, iaitu borang pengesahan pekerja atas nama Fireshot Marketing Sdn Bhd dan Minbot Sdn Bhd, yang mengandungi butir nama pekerja baharu sedangkan senarai pekerja yang dinamakan dalam dokumen tersebut bukan pekerja dua syarikat itu.

Ia bagi memperolehi bayaran di bawah peruntukan Penjana yang masing-masing berjumlah RM46,000 dan RM17,500 untuk melaksanakan program insentif pengambilan pekerja dan program latihan. Kesalahan itu dilakukan di Pejabat Perkeso Kuala Lumpur dan Putrajaya pada 3 Jun dan 10 Jun 2021.

Tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika disabit kesalahan, mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, 10 lagi pertuduhan pilihan membabitkan dokumen palsu diambil pertimbangan menurut seksyen 117A Kanun Tatacara Jenayah.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Irna Julieza Maaras memohon hukuman setimpal kerana melibatkan kepentingan awam.

Rueben Ong selaku peguam mewakili Sim merayu hukuman minimum memandangkan tertuduh telah insaf dan perlu menanggung kos rawatan anak kurang upaya yang mengalami masalah pernafasan, isteri, dan kedua ibu bapa yang tinggal bersama.

Mahkamah menjatuhkan denda RM80,000 atau lima bulan penjara jika tertuduh gagal membayar denda.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.